‘Tetap menjalankan tugas walau sakit’

 |Sep 11, 2017
Raja Sarina Iskandar (kiri) berkongsi gambar bersama datuknya, almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. – Foto kredit Instagram @sarinaiskandar.

PETALING JAYA: Kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah nyata menjadi khabar duka kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya di Kedah.

Keperibadian Almarhum yang mesra dengan rakyat jelata sentiasa diingati membuatkan rakyat berbilang kaum turut meluahkan rasa kesedihan dan menyampaikan ucapan takziah.

Tidak ketinggalan cucu baginda, Raja Sarina Intan Bahiyah Raja Iskandar yang berkongsi kisah kehidupannya bersama Tuanku Abdul Halim.

Menerusi perkongsian di laman Instagram, Raja Sarina menjelaskan dedikasi Almarhum kepada Kedah dan Malaysia banyak memberi inspirasi kepadanya dalam menjalani kehidupan.

Menurutnya, pertama kali melihat kehidupan sebenar datuknya apabila dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong kali kedua ketika berusia 83 tahun dan berpindah ke Istana Negara.

Raja Sarina berkata, beliau melihat sendiri datuknya sanggup tidak makan bagi membuat latihan untuk berucap walaupun ketika itu sudah di dalam lingkungan usia 80-an.

“Kebanyakan kita sudah bermimpi untuk bersara pada usia 50 tahun tetapi baginda tidak melakukannya, dan ada kalanya baginda sakit tetapi tetap menjalankan tugas sebagai Sultan dan Agong.

“Baginda sanggup meninggalkan wad hospital untuk menghadiri majlis dan saya melihat di televisyen, baginda kelihatan seperti normal bertemu Perdana Menteri, menteri kerajaan dan rakyat.

“Selepas semuanya selesai, baginda pulang semula ke wad hospital dan tiub disambung semula ke badannya. Walaupun sakit, baginda sentiasa menepati waktu dan tidak pernah sesekali membuat orang lain menunggu,” tulisnya.

Anak kepada Tunku Soraya Tuanku Abdul Halim itu berkata, datuknya tidak hanya duduk di atas takhta dan menikmati kemewahan yang dimiliki.

Menurutnya, baginda banyak berkorban kerana tidak dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa kerana tiada privasi.

“Status dimilikinya (baginda Sultan) adalah amanah Allah,” tulisnya.

Raja Sarina menganggap datuknya seorang yang tidak pernah marah, sentiasa tenang dan juga sentiasa memastikan baginda melakukan yang terbaik.

“Ketika saya memberitahunya mengenai mana-mana blog atau individu yang menghinanya, baginda tidak marah, tetapi tenang dan hanya berkata ‘saya sudah buat yang terbaik’,” tulisnya lagi.

“Saya sayang Tok dan anda selamanya menjadi Sultan saya. Al Fatihah,” kata Raja Sarina lagi.

Almarhum Tuanku Abdul Halim mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Almarhum yang berusia 89 diputerakan 28 November 1927 dan merupakan Sultan Kedah ke-27.

Almarhum mewarisi takhta Kedah pada Julai 1958 daripada ayahandanya dan ditabalkan pada Februari 1959. – MO