Sultan Kedah mangkat

 |Sep 11, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

KUALA LUMPUR: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Baginda mangkat pada usia 89 tahun dan merupakan Sultan Kedah ke-27 yang memerintah negeri Jelapang Padi itu sejak 1958.

Diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, Tuanku Abdul Halim merupakan anakanda ketiga Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah dan Yang Mulia Tunku Sofia Tunku Mahmud.

Baginda merupakan satu-satunya Sultan yang menjadi Yang Di-Pertuan Agong sebanyak dua kali iaitu ketika berusia 43 dan 84 tahun.

Kali pertama beliau menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada 1970-1975 ketika Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan kali kedua ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada tahun 2011 ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Pelantikan kedua Tuanku Abdul Halim sebagai Yang Di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun bermula 13 Disember 2011 sehingga Disember 2016.

Tuanku Abdul Halim memulakan zaman persekolahan rendah di Sekolah Melayu Alor Merah, Sekolah Melayu Titi Gajah dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar.

Sebagai putera raja yang sangat berhemah tinggi, Tuanku Abdul Halim terkenal dengan penuturan yang lemah lembut dan bersopan santun.

Baginda adalah pemerintah yang dididik daripada kecil dengan nilai-nilai pekerti dan tingkah laku yang tinggi berasaskan agama dan keduniaan.

Keperibadian baginda yang mesra dengan rakyat jelata sudah tersemai dalam jiwa sejak kecil terutama ketika menuntut di Kolej Sultan Abdul Hamid pada 1946 hingga 1949 di mana baginda pernah bersemayam di asrama sekolah tersebut dan bergaul dengan pelajar lain daripada pelbagai lapisan.

Baginda merupakan lepasan pelajar Wadham College, Oxford yang memperolehi diploma dalam Sains Sosial dan Pentadbiran Awam.

Baginda berkahwin dengan Tuanku Hajah Bahiyah Tuanku Abdul Rahman dan memperolehi tiga puteri; Tunku Soraya, Tunku Sarina dan Tunku Puteri Intan Safinaz.

Tuanku Hajah Bahiyah meninggal dunia pada tahun 2003, manakala seorang anak mereka iaitu Tunku Sarina meninggal dunia pada tahun 1991.

Pada tahun 1975, Baginda berkahwin dengan Che Puan Hajah Haminah Hamidun, di mana pada tahun 2004, Che Puan Hajah Hamidun diisytiharkan sebagai Sultanah Kedah yang baru. – MO