Marah MPSJ: Wanita pengunci stereng disiasat, suami tampil mohon maaf

 |Sep 11, 2017
Foto kredit Facebook Kongsi Semua Malaysia.

PETALING JAYA: Tindakan seorang wanita memarahi anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sambil mengacukan pengunci stereng menjadi tular di laman sosial baru-baru ini.

Menerusi perkongsian Facebook Kongsi Semua Malaysia memaparkan seorang wanita berbaju merah jambu memarahi seorang penguat kuasa yang mahu menunda kenderaanya kerana parkir di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU).

Wanita berkenaan yang berang mengacukan pengunci stereng ke arah penguat kuasa tersebut dan berlaku pertengkaran antara mereka.

“Salah ke saya beli makanan?,” kata wanita itu dilihat menjerit dalam video berdurasi 37 saat.

Pegawai itu menjawab: “Tidak, tidak salah untuk membeli makanan. Tetapi anda parkir kereta anda di tempat yang salah (di tempat untuk orang kurang upaya).

Wanita itu kemudian dilihat meninggikan suara dan menjawab bahawa dia tidak mempunyai tempat lain untuk meletakkan kenderaannya.

Tambahnya, dia membeli makanan untuk suaminya yang kurang upaya.

Bagaimanapun, pegawai tersebut kelihatan tenang sepanjang bertengkaran itu dan kemudian meminta bukti, tetapi wanita itu gagal untuk menunjukkan kad OKU suaminya.

Harian Metro melaporkan, insiden berkenaan berlaku pada Rabu lalu di Bandar Puteri Puchong.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias berkata, wanita berusia 40-an bersama suaminya orang kurang upaya (OKU) berusia 50-an sudah memberi keterangan pada Sabtu lalu.

“Suspek dan suami dalam keadaan tertekan. Susulan itu, polis belum menahan suspek namun sudah mengambil keterangan untuk disiasat mengikut Seksyen 506 kerana ugutan jenayah,” katanya.

Jelasnya, suami wanita terbabit hadir ke Depot Tunda MPSJ dan membayar denda sebanyak RM190 serta memohon maaf kerana tindakan isterinya yang kurang sopan terhadap anggota terbabit.

Menurutnya, kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini bagi tindakan selanjutnya.

Kejadian membabitkan pengunci stereng ini bukan pertama kali dilaporkan kerana sebelum ini Siti Fairrah Ashykin atau lebih dikenali dengan nama gelaran Kiki pernah mengalami keadaan yang sama.

Insiden berkenaan menjadi tular di laman sosial apabila Kiki dilihat bertindak agresif terhadap seorang lelaki warga emas ketika kemalangan kecil yang berlaku di Kuantan, Pahang pada 2014. – MO

SHARE