Jenazah Sultan Kedah dimakamkan di Makam Diraja Langgar esok

 |Sep 11, 2017
Rakyat boleh memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Kedah di Istana Anak Bukit esok bermula jam 11 pagi sehingga 12.30 tengah hari. – Gambar fail Wikipedia.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengumumkan jenazah Almarhum Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah akan dimakamkan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, Kedah jam 4 petang esok.

Menurutnya, jenazah Almarhum akan disemayamkan di Dewan Penghadapan Istana Anak Bukit bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memberikan penghormatan terakhir.

“Penghormatan terakhir bermula jam 11 pagi hingga 12.30 tengah hari sebelum jenazah Almarhum dimakamkan pada jam 4 petang,” katanya pada sidang media di Alor Setar, hari ini.

Menurutnya, istiadat penghormatan terakhir dimulai dengan rakyat pada jam 11 pagi disusuli sesi penghormatan oleh para kenamaan sehingga pukul 1.30 petang.

Ahmad Bashah berkata, jenazah Amarhum akan diringi ke makam diraja melalui Lebuhraya Darul Aman, Jalan Tun Razak, Jalan Langgar dan terus ke Makam Diraja Langgar.

Menurutnya, bendera negeri, persekutuan dan lain-lain akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari mulai hari ini.

“Tempoh perkabungan adalah selaman tujuh hari mulai hari ini hingga 17 September. Dalam waktu tersebut, semua bentuk hiburan, keramaian dan perayaan adalah dibatalkan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan hari pelepasan cuti am esok untuk negeri Kedah kecuali bagi mereka yang menduduki peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan berjalan seperti biasa.

Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan semua bendera di negeri Perak dikibar separuh tiang sebagai tanda turut bersedih dan dukacita rakyat negeri Perak di atas kemangkatan Sultan Kedah.

Baginda menitahkan supaya semua bendera di negeri Perak dikibarkan separa tiang sehingga selesai istiadat pemakaman.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga menitahkan semua bendera di Johor diturunkan separuh tiang sebagai tanda berkabung selama satu hari bermula esok.

Tuanku Abdul Halim Muā€™adzam Shah mangkat di Istana Anak Bukit kira-kira pukul 2.30 petang tadi. – MO