Bekas suami Erra Fazira kongsi detik perkenalan dengan Laudya Cynthia Bella

 |Sep 11, 2017
Engku Emran berkongsi gambar yang diambil pada bulan Julai semasa memperkenalkan Laudya Cynthia Bella (kiri) kepada bekas isterinya, pelakon dan bekas ratu cantik Erra Fazira (kanan). – Foto kredit Instagram @iamkumbre.

PETALING JAYA: Persoalan mengenai hubungan Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan pelakon filem “Surga Yang Tak Dirindukan 2”, Laudya Cynthia Bella atau lebih mesra dengan panggilan Bella dari Indonesia akhirnya terjawab selepas pasangan itu melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis tertutup di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Bella, 29, dan Engku Emran, 42 yang menjadi perhatian peminat seni di Malaysia dan Indonesia itu dinikahkah oleh bapa Bella, Busye Amir dengan mas kahwin sebanyak RM300 dengan sekali lafaz.

Selepas berita mengenai pernikahan mereka tersebar, kedua-dua pasangan ini secara jelas mendedahkan detik perkenalan mereka di laman Instagram masing-masing.

Sejak semalam, Engku Emran yang sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon, penyanyi dan bekas ratu cantik Erra Fazira, menerusi akaun Instagramnya berkongsi gambar detik perkenalannya dengan Bella sebelum perkahwinan mereka dilangsungkan.

Engku Emran juga berkongsi detik perkenalan antara anak tunggalnya bersama Erra, Engku Alesya, 8, dengan Bella untuk pertama kali pada Julai lalu.

Dia mengakui bukan mudah untuk menjelaskan kepada Engku Aleesya mengapa dia memerlukan seseorang untuk menjaganya.

“Saat yang paling sukar untuk saya sebagai seorang ayah. Harus menjelaskan kepada Aleesya kenapa saya perlukan seseorang untuk menjaga, ambil berat tentang saya.

“Aleesya tidak perlukan seorang lagi ibu. Tetapi saya selalu mendoakan supaya akan ada seorang wanita yang baik hadir dan menjadi sebahagian hidupnya,” kongsi Engku Emran di laman Instagramnya @iamkumbre.

Sementara itu, Bella turut meluahkan rasa bahagianya bergelar isteri kepada Engku Emran dan menganggap Engku Aleesya sebagai harta tiada nilainya.

“Saya sayang dia (Engku Emran) dengan sepenuh hati saya. Dan balasannya, Allah memberikan saya harta yang tak ternilai harganya iaitu Aleesya,” tulisnya menerusi akaun Instagramnya @laudyacynthiabella.

Pelakon popular Indonesia itu dalam coretannya mengakui berkenalan dengan Engku Emran sejak lima bulan lalu.

“Disaat saya iklhas, saya di pertemukan dengan dia. Dari masa kenal sampai hari ini, kami hanya melewati 5 bulan. Dan kurang dari 1 bulan untuk persiapan pernikahan kami.. Ini adalah jalan Allah. Terima kasih Allah perjalanan yang indah ini.

“Saya jatuh hati dengan cara abang mencintai Allah, dengan cara abang mencintai saya, cara mencintai keluarganya, lebih lagi dengan cara abang mencintai Aleesya, sosok laki-laki yang saya inginkan untuk memimpin dan melindungi anak-anak saya dan abang nanti,” tulisnya.

Bella turut berterima kasih kepada beberapa kenalan dari Malaysia terutama pelakon Nora Danish dan suaminya Nedim Nazri yang memperkenalkannya kepada Engku Emran.

Sementara itu, Erra menerusi akaun Instagramnya @errafazira mengucapkan tahniah kepada bekas suaminya itu dan isteri, Bella yang telah selamat diijab kabul.

Erra turut mendoakan pasangan itu agar berbahagia dan hubungan mereka berkekalan.

“Alhamdulillahhhh.. Tahniah! Buat ayah kepada Aleesya @iamkumbre dan @laudyacynthiabella di atas penyatuan cinta kalian. Moga berbahagia dan berkekalan hingga ke Jannah,” kata Erra.

Engku Emran dan Erra yang mendirikan rumah tangga pada Oktober 2007, bercerai pada 2014. – MO