Pemandu mengaku tidak bersalah langgar atlet berbasikal

 |Sep 8, 2017
Foto kredit Twitter @jailanish.

PETALING JAYA: Pemandu kenderaan pacuan empat roda yang merempuh sekumpulan atlet berbasikal di Lebuh Raya Kuala Lumpur – Kuala Selangor (LATAR) pagi semalam mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara berbahaya di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, hari ini.

Tertuduh, Anuar Wahab, 46 didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu kenderaan dengan merbahaya kepada orang awam sehingga mengakibatkan kemalangan jalan raya.

Pertuduhan ke atas tertuduh yang bekerja sebagai peniaga dibacakan di hadapan Majistret Abd Jalil Salam.

Harian Metro melaporkan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mahmoodah VM Abdul Latif menawarkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, M Saravanan memohon jumlah ikat jamin dikurangkan kepada RM2,000 atas alasan tertuduh mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan isteri tidak bekerja.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan kes disebut semula pada 16 Oktober depan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM15,000.

Dalam kejadian 10.45 pagi itu, dua atlet para berbasikal antara lima individu terbabit dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway (LATAR), berdekatan susur keluar Bandar Tasik Puteri di Kuala Selangor.

Mangsa yang terbabit ialah Muhamad Khairul Nizam Mohd Ali, 19, Mohd Nur Syafiq Suhaimy, 25, Mohd Khairul Azwan Wahab, 25, Mohd Nur Ridzuan Zainal, 31, dan Mohd Johari Nayan, 42, yang juga jurulatih pasukan itu.

Siasatan polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Hilux yang mahu menukar lorong ke susur keluar Bandar Tasik Puteri melanggar mangsa ketika menjalani latihan di kawasan itu.

Tertuduh yang melarikan diri selepas kejadian ditahan selepas membuat laporan di Balai Polis Kampung Baru Subang dan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Selangor untuk siasatan lanjut. – MO

SHARE