Malaysia laksana misi bantuan kemanusiaan untuk Rohingya

 |Sep 8, 2017
Prime Minister Datuk Seri Najib Razak. – File pic

PETALING JAYA: Malaysia akan melaksanakan ‘Misi Kemanusiaan untuk Rohingya’ bagi membekalkan keperluan dan bantuan segera kepada perlarian yang berlindung di sempadan Bangladesh-Myanmar.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata keputusan untuk menghantar misi kemanusiaan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Menurutnya, misi yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia ini merupakan manifestasi bantahan Malaysia sekeras-kerasnyanya terhadap penindasan berterusan oleh pasukan keselamatan Myanmar terhadap komuniti Rohingya.

“Misi yang disokong oleh badan sukarelawan iM4U ini telah memulakan operasi dan bersedia untuk bertolak Sabtu ini bagi meninjau serta menilai keadaan sebenar di kem-kem pelarian tersebut.

“Ia seterusnya bakal menyaksikan penghantaran bantuan keperluan yang diuruskan secara komprehensif oleh Malaysia Airlines dan akan diedarkan oleh pasukan sukarelawan rakyat Malaysia yang tampil daripada pelbagai pertubuhan melalui kerjasama Malindo Air,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan bantuan dapat dihulurkan secara lebih efektif, perbincangan akan turut diadakan bagi rancangan menempatkan sebuah hospital tentera di daerah tersebut dengan persetujuan lanjut pihak berkuasa Bangladesh.

Jelasnya, sebagai komuniti ASEAN yang berpegang teguh kepada nilai kemanusiaan dan kesejahteraan sejagat, Malaysia menggesa kerajaan Myanmar untuk menyelesaikan kemelut ini berpandukan prinsip perlindungan hak asasi manusia yang turut termaktub di dalam Piagam ASEAN dan Deklarasi Hak Asasi ASEAN serta Resolusi yang telah dicapai melalui Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada 19 Januari lalu.

“Melalui bantuan kemanusiaan ini, hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Bangladesh dijangka meningkat untuk kebaikan bersama,” katanya.

Najib turut menyeru rakyat untuk bersatu hati menjayakan misi ini dengan bersama memberikan bantuan secara kolektif dan berkesan melalui saluran rasmi yang akan diumumkan kelak.

“Misi ini diharapkan dapat membawa hasrat seluruh rakyat Malaysia dan menjulang semangat ‘Negaraku Prihatin’ berlandaskan hak keamanan bagi setiap insan,” katanya. – MO