Isu Rohingya: Pemuda Umno serah memorandum di Kedutaan Myanmar

 |Sep 8, 2017
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos (tengah) menyertai himpunan Solidariti bersama etnik Rohingya di ibu negara hari ini. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Malaysia terus mendesak kerajaan Myanmar untuk mencari jalan penyelesaian agar krisis kemanusiaan dan pembunuhan etnik Rohingya di negara berkenaan tidak terus dizalimi.

Exco Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, pihaknya menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan Myanmar supaya ada tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan kezaliman etnik Rohingya tidak berterusan.

“Kehadiran kita ini atas dasar kemanusiaan dan bukannya kerana politik. Kejadian yang berlaku terhadap etnik Rohingya tidak boleh diterima akal.

“Kami juga mendesak pimpinan negara untuk mengambil perkara ini secara serius dan yakin Perdana Menteri akan membawa isu ini ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya ketika penyerahan memorandum bantahan terhadap penindasan Rohingya di Kedutaan Myanmar di sini.

Kira-kira 100 orang menyertai himpunan Solidariti bersama etnik Rohingya sebelum menyerahkan memorandum di Kedutaan Myanmar.

Demonstrasi jalanan tersebut turut disertai entik Rohingya yang berada di Malaysia dan pertubuhan badan bukan kerajaan.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, sekiranya pihak kedutaan Myanmar tidak menjalankan tindakan sewajarnya, mereka mendesak Kementerian Dalam Negeri untuk menutup kedutaan tersebut.

“Kalau kedutaan tidak membuat sebarang tindakan tutup sahaja kerana ianya seperti angjing menyalak bukit.

“Kami akan mendesak kerajaan Malaysia untuk menghalau rakyat Myanmar jika penindasan ini berterusan,” katanya.

Etnik Rohingya beragama Islam dilaporkan ditindas dan dizalimi sehingga mendorong ribuan penduduk berkenaan meninggalkan kampung halaman bagi mengelak daripada menjadi mangsa kekejaman yang didakwa melibatkan tentera negara itu

Pagi tadi, Pergerakan Pemuda Umno menerusia Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun menghantar memorandum bantahan ke pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menuntut sidang tergempar mengenai krisis kemanusiaan dan penempatan pasukan pengaman di Rakhine.

Penyerahan memorandum kepada kedutaan Myanmar bukanlah pertama kali dilakukan oleh pergerakan Pemuda Umno kerana desakan tersebut telah bermula secara konsisten sejak 2014. – MO

SHARE