Aktiviti berbasikal di lebuh raya: Masih ada yang ‘degil’

 |Sep 8, 2017
Gambar fail kredit laman sesawang Lebuhraya Latar.

PETALING JAYA: Aktiviti berbasikal secara berkumpulan di lebuh raya masih lagi aktif walaupun kerajaan sudah mengeluarkan arahan melarang penggunaan basikal di lebuh raya terutama yang mempunyai tiga lorong.

Pemerhatian Malaysia Outlook di beberapa lebuh raya di Lembah Klang mendapati terdapat aktiviti berbasikal terutamanya di hujung minggu dan mereka ini menggunakan laluan kecemasan serta lorong khas motosikal untuk menjalankan aktiviti mereka.

Terdapat juga yang menjadikan kawasan lebuh raya sebagai kawasan latihan yang jelasnya mengundang bahaya kepada mereka.

Pakar keselamatan jalan raya yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, penunggang basikal harus mengambil kira keselamatan mereka ketika berada di lebuh raya.

Menurutnya, kelajuan basikal dengan kenderaan lain di lebuh raya adalah berbeza ditambah lagi dengan berat sesebuah kenderaan itu.

“Kelajuan yang tinggi daripada kenderaan lain akan menyebabkan angin kencang dan ini akan menganggu penunggang basikal sehingga mewujudkan risiko bahaya dan hilang kawalan pada basikal.

“Kenderaan lain di lebuh raya juga tidak dapat melihat dengan jelas penunggang basikal kerana lebih kecil dan ini boleh menyebabkan kemalangan berlaku,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook.

Tegasnya, aktiviti berbasikal adalah tidak sesuai dilakukan di lebuh raya kerana risiko kemalangan adalah tinggi dan reka bentuk lebuh raya bukanlah untuk aktiviti berbasikal.

Menurutnya, ada banyak tempat lain untuk menjalankan aktiviti berbasikal yang dibina kerajaan dan penunggang basikal boleh menggunakannya untuk latihan ataupun riadah.

Beliau tidak menafikan ada sesetengah penunggang basikal yang kononnya mahu mencabar diri mereka dengan menjadikan lebuh raya sebagai litar latihan.

“Kemalangan tidak berbau dan kita belajar melalui kesalahan tetapi keselamatan di jalan raya ini tidak boleh dikatakan sebagai pengalaman untuk kita menjadi pakar.

“Keselamatan adalah sangat penting, bersenam untuk kesihatan tetapi keadaan tak selamat dan itu menyebabkan matlamat tidak tercapai,” katanya.

Shaw Voon berkata, walaupun statistik kemalangan membabitkan penunggang basikal tidak membimbangkan tetapi ia perlu dicegah lebih awal.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai melarang penggunaan basikal di lebuh raya bagi mengurangkan risiko kemalangan penunggang basikal selepas insiden lapan remaja maut dilanggar di Johor Bahru, pada Febuari lalu.

Beliau berkata sekiranya kumpulan berbasikal ingin menggunakan lebuh raya, mereka perlu mendapatkan permohonan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis untuk memantau keselamatan konvoi berkenaan.

Penunggang basikal juga hendaklah memakai pakaian keselamatan semasa menunggang manakala ibu bapa memainkan peranan dalam memastikan keselamatan anak mereka semasa menyertai aktiviti berbasikal.

Dalam kejadian Febuari lalu, lapan remaja lelaki berbasikal berusia antara 13 hingga 17 tahun maut selepas dirempuh sebuah kereta di Jalan Lingkaran Dalam bersebelahan Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

Terbaru, dua atlet para berbasikal antara lima individu terbabit dalam kemalangan langgar lari di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway (LATAR) di Kuala Selangor, pagi semalam.

LATAR dalam satu kenyataan semalam menegaskan bahawa sebarang aktiviti berbasikal di lebuh raya adalah dilarang sama sekali, sejajar dengan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh kerajaan. – MO