2017: Tujuh filem kutipan ‘tercorot’ setakat ini

 |Sep 8, 2017
Gambar fail Wikimedia.

KUALA LUMPUR: Industri perfileman negara sering diwarnai dengan pelbagai genre dan sekaligus mencabar insan yang bergelar pengarah menghasilkan sebuah filem yang menepati citarasa penonton.

Menerusi laman web Finas, 31 buah filem telah dan sedang ditayangkan sejak Januari hingga Ogos 2017.

Ini satu perkembangan yang sangat sihat. Persoalannya filem manakah yang memegang takhta kutipan tercorot untuk tahun ini?

Berdasarkan laman web Finas, filem Spy In Love arahan Danial Rifki ini hanya mengutip sekitar RM4,059 dalam lima hari tayangan di 25 buah pawagam. Ini menjadikan filem ini sebagai filem yang mendapat kutipan tercorot untuk tahun 2017.

Filem Tamil, Puthiya Payanam arahan Raven menduduki carta kedua kutipan tercorot selepas memperolehi kutipan RM6,651.30 dalam tujuh hari tayangan di 20 pawagam.

Tempat ketiga adalah filem Tamil, RIP? arahan S.T Bala yang hanya memperolehi kutipan RM8,156.00 dalam tujuh hari tayangan di 22 pawagam.

Filem terbitan Genius Parade Sdn Bhd iaitu Kamar Seksa arahan M.Suurya ini menduduki tempat keempat selepas menerima kutipan RM15,034.20 dalam tujuh hari tayangan di 25 pawagam.

Di kedudukan kelima adalah filem Kerja Kahwin arahan Anwardi Jamil yang mula ditayangkan pada 20 Julai lalu menerima kutipan RM15,293.76 dalam tujuh hari tayangan di 38 pawagam.

Filem Hijabsta Ballet arahan Syed Zul Tojo menduduki tempat keenam selepas mengutip RM16,013.63 dalam 12 hari tayangan di 41 pawagam.

Filem Pencuri Hati Mr Cinderalla arahan Ahmad Idham pula menduduki tempat ketujuh dalam senarai filem tercorot kutipan tahun ini.

Filem keluaran Alfa Motion Picture Sdn Bhd ini berjaya mengutip RM18,864.50 dalam tujuh hari tayangan di 33 pawagam.

Nampaknya, Ahmad Idham perlu belajar dengan lebih lagi selera penonton masa kini supaya dapat melonjakkan namanya kembali dalam industri perfileman negara.

Sementara itu, filem Abang Long Fadil 2 arahan pengarah muda Syafiq Yusof berjaya mengutip RM4,350,610.00 dalam 5 hari tayangan di 129 pawagam.

Ini sekaligus meletakkan filem yang dikeluarkan Skop Production ini sebagai kutipan kedua tertinggi selepas filem J Revolusi arahan Mohd Zulkarnain yang mengutip RM7,139,625.42. – MO

SHARE