Pos Malaysia keluarkan 5,000 set setem khas Yang Di-Pertuan Agong

 |Sep 7, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad akan mengeluarkan koleksi setem khas bersempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V pada Sabtu ini.

Siri setem edisi khas itu menampilkan Sultan Muhammad V dan 14 mantan Yang di-Pertuan Agong.

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Diyana Lean Abdullah berkata, siri setem khas yang bertajuk ‘Edisi Khas Siri III – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong’ dikeluarkan bagi memperingati semua 15 YDP Agong dalam satu set setem.

Menurutnya, siri setem tersebut memaparkan imej YDP Agong yang berasal dari Kelantan dan bernilai RM5 sekping.

“Ia turut dikeluarkan bersama 14 setem lain yang memaparkan 14 imej mantan YDP Agong yang bernilai RM1 setiap satu.

“Pengemar koleksi setem boleh mendapatkan siri setem ini bermula Isnin iaitu 11 September,” katanya selepas melancarkan setem berkenaan di Pos Malaysia di ibu negara hari ini.

Menurutnya, siri setem tersebut dijual dalam satu set setem berharga RM37.10 dan ianya terhad kepada 5,000 set sahaja.

“Saya menggesa semua peminat setem dan orang ramai untuk mengumpul siri setem edisi khas sebaik sahaja ia tersedia untuk dijual,” katanya.

Katanya, selain daripada set setem, siri setem kali ini turut menampilkan tanda pertabalan dalam bentuk ‘Gong Alat Nobat Di Raja’.

Sebelum ini edisi pertama siri setem yang menampilkan 13 YDP Agong dikeluarkan pada tahun 2007 manakala siri kedua menampilkan semua 14 YDP Agong dijual pada 2012. – MO

SHARE