Pelakon komedi Pak Jabit meninggal dunia

 |Sep 7, 2017
Foto kredit Facebook Ngah Kadir.

PETALING JAYA: Pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah yang dikenali menerusi watak Pak Jabit (gambar) meninggal dunia di sebuah klinik di Lanchang, Pahang, pagi tadi.

Berita kematian Pak Jabit atau nama sebenarnya, Man Kadir Samsi dikongsikan salah seorang anaknya menerusi akaun Facebook Ngah Kadir.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 7.10 pagi ketika sedang mendapatkan rawatan kecemasan dipercayai berpunca daripada masalah jantung.

“Untuk makluman ayah saya Abdul Kadir atau Pak Jabit telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi 7.10 pagi ini, jenazah masih berada di klinik Lanchang, saya anak beliau,” tulis status di Facebook Ngah Kadir.

Jenazah akan dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Rantau Panjang, Lanchang dan dikebumikan selepas solat Zohor di Tanah Perkuburan Islam di situ.

Man Kadir yang berusia 68 tahun terkenal menerusi lakonannya dalam filem-filem komedi arahan Mamat Khalid antaranya Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel, Man Laksa dan Zombi Kampung Pisang, selain dari Hantu Kak Limah Balik Rumah. – MO