Filem kurang sambutan, Ahmad Idham dikritik netizen

 |Sep 7, 2017
Gambar dan paparan skrin kredit Instagram dan Twitter @ahmad_idham.

PETALING JAYA: Pengarah filem, Ahmad Idham membidas netizen yang mengkritik dan mengecam filemnya sekaligus menimbulkan ‘pergaduhan’ di laman sosial baru-baru ini.

Ianya bermula apabila Ahmad Idham menggelarkan ‘haters’nya sebagai ‘born loser’ susulan kritikan netizen terhadap kutipan filem arahannya Pencuri Hati Mr.Cinderella yang tidak memberangsangkan.

Filem tersebut yang mula ditayangkan pada 10 Ogos lalu sudah pun tamat tayangan di pawagam.

“Bila baca komen haters ni tertanya2 gak apalah perasaan ibubapa mrk bila tgk anak membesar jadi born loser mcm tu. Kesian pun ada.. huhuhu,” tulisnya.

Kenyataan Ahmad Idham itu menerima pelbagai reaksi dari pengguna laman Twitter. Antaranya, pengguna @Ulwan97 yang bertanya kepada pengarah filem itu, “Mak bapak dia ni ke yg abang ckp?” Soalan dari @Ulwan97 itu disertakan dengan sekeping gambar Ahmad Idham sendiri.

Difahamkan, kenyataan tersebut dikeluarkan selepas ada netizen mengutuk jumlah kutipan filemnya yang tidak sampai RM100,000 selepas beberapa minggu tayangan.

Menurut laman sesawang Finas, jualan tiket bagi filem Pencuri Hati Mr Cinderella ialah RM18,864.50.

Selain kutipan yang tidak memberansangkan, netizen turut mempersoalkan kualiti filem tersebut selain mengecam poster filem berkenaan.

Mungkin berang dengan kritikan netizen, Ahmad Idham turut mahu bersemuka dengan haters bagi bertukar pandangan.

“Tgk respon #haters ni best lak. Ingat nak buat gathering dgn korang lah minggu depan. Boleh kita bersemuka dan bertukar2 pandangan kan.

“Saya serius ni nak bersemuka dan bertukar pandangan. Mai ler! Nanti kata saya tak leh terima teguran lak. Jom la bincang cara gentleman,” tulisnya.

Bagaimanapun, netizen tidak berdiam diri dan terus membidas Ahmad Idham serta filem yang diarahkannya sebelum ini.

Netizen menganggap filem arahan Ahmad Idham tidak berkualiti dan perlu belajar dengan pengarah muda seperti Syafiq Yusof yang mengarahkan filem Abang Long Fadil 2.

Sebelum ini, Ahmad Idham menyifatkan berkemungkinan filem arahannya kurang mendapat sambutan susulan keadaan ekonomi yang tidak menentu sekaligus memberi kesan kepada filem tempatan.

Perkara itu jelas dikritik netizen apabila filem Abang Long Fadil 2 yang juga baru ditayangkan berjaya mengutip sebanyak RM5 juta dalam masa lima hari tayangan.

Ada netizen menempelak alasan lucu Ahmad Idham itu dan mendakwa zaman kegemilangannya sudah berakhir apabila ramai sudah ‘muak’ dengan filem tema cinta bahkan tiada idea baharu yang boleh membuka minda. – MO