Stadium gelanggang ais bukti sukan Malaysia bertaraf antarabangsa

 |Sep 4, 2017
Foto MO Azrol Ali.

PETALING JAYA: Malaysia berjaya membuktikan keupayaan dalam menganjurkan sukan musim sejuk apabila Stadium Luncur Ais Kebangsaan (MyNISS) dibina dan pertama kali digunakan pada temasya Sukan SEA ke-29 yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.

Menjadi tuan rumah selepas 16 tahun membuatkan Malaysia lebih berani dalam menampilkan sukan di dalam negara yang dikenali sebagai sebuah negara Khatulistiwa yang tidak mungkin dihujani salji.

Namun, ianya tidak menjadi penghalang apabila kerajaan membina MyNISS sekaligus melakar sejarah dalam temasya sukan dwitahunan itu apabila sembilan pingat emas dipertandingkan yang melibatkan enam emas acara luncur ais ‘short track speed skating’, dua emas acara luncur ais ‘figure skating’ dan satu emas dalam acara hoki ais.

MyNISS yang terletak di pusat membeli-belah Empire City di Damansara Perdana, Petaling Jaya mendapat pujian rakyat yang berbangga dengan kejayaan Malaysia menganjurkan sukan luncur ais yang tampil buat pertama kali pada Sukan SEA.

Pekerja swasta, Nadia Anne Ariffin, 30, berkata, bangga dengan pencapaian Malaysia dalam bidang sukan sekaligus meluaskan lagi acara sukan pada temasya kali ini yang berakhir pada 30 Ogos lepas.

Menurutnya, stadium berkenaan sangat cantik dan antara yang terbaik di rantau ini.

“Sudah tentu saya berbangga dengan kejayaan yang dibawa kerana dapat membuka mata rakyat luar bahawa negara ini juga boleh menganjurkan sukan musim sejuk.

“Saya percaya dengan adanya gelanggang ini dapat melahirkan dan mengasah bakat baru untuk memajukan sukan ini di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui Malaysia Outlook.

Bagi Mohammad Aziz, 40, penganjuran sukan berkenaan dapat membantu menghidupkan sukan berkenaan di rantau Asia.

“Di negara ini, kita ada tempat luncur ais di Sunway Pyramid dan IOI City Mall, Putrajaya, namun ia tidak mampu untuk penganjuran sukan seperti ini.

“Kini, pemain dapat menjalani latihan dalam keadaan yang lebih baik dan itu membantu kepada kemenangan nanti,” katanya yang menganggap MyNISS boleh membawa sukan Malaysia ke peringkat antarabangsa suatu hari nanti.

Jelasnya, walaupun gelanggang itu baru dibina tetapi ianya sangat cantik dan baik serta boleh dianggap bertaraf antarabangsa.

Hanya lima buah negara menghantar pasukan untuk pertandingan hoki ais iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina dan Thailand.

Keunikan sukan hoki ais pada Sukan SEA yang ke-29 adalah kerana ia dipertandingkan di negara yang bercuaca panas dengan kira-kira 27 darjah celcius dan walaupun telah 15 tahun sukan berkenaan dibawa masuk ke negara ini hanya baru-baru ini sahaja Malaysia mempunyai gelanggang hoki ais bertaraf olimpik serta mempunyai pasukan hoki ais yang dilatih jurulatih dari Hungary.

Pembinaan permukaan ais di Empire City Mall bernilai RM30 juta oleh Mammoth Empire Holdings Sdn Bhd (MEH) berkapasiti kira-kira 500 penonton itu dirasmikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dengan kawasan tempat duduk yang terbuka di tingkat dua dan tiga membolehkan penonton melihat perlawanan dengan lebih jelas dan santai.

Stadium tersebut dilengkapi dengan kemudahan iaitu mempunyai empat bilik berpakaian besar, bilik untuk pegawai dan jurulatih itu boleh dikategorikan bertaraf antarabangsa.

Selain itu, penonton juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan yang dijual dalam kawasan berkenaan.

Kawasan parkir juga luas dan disediakan tempat khas untuk pelanggan GrabCar untuk memudahkan urusan serta kawalan keselamatan yang rapi.

Pemerhatian mendapati, terdapat muzium kecil dan pusat pelancongan ditempatkan dalam bangunan stadium berkenaan untuk pengunjung yang hadir menyaksikan perlawanan.

Selain itu, gelanggang ais berkenaan juga dibuka kepada orang ramai pada hujung minggu lalu sehingga hari ini bagi merasai ‘kesejukan’ meluncur di gelanggang ais terbaik di rantau ini. – MO