Naim Sukran, hero yang tidak didendangkan

 |Sep 4, 2017
Naim Sukran.

KUALA LUMPUR: Umum mengetahui individu yang memberikan tarikh kemerdekaan negara adalah seorang ulama, yang juga ahli falak terkemuka dan tokoh masyarakat yang disegani dari Pulau Pinang iaitu Tuan Guru Haji Abdullah Ibrahim.

Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa cadangan tarikh kemerdekaan sebenarnya diusulkan oleh seorang guru dari Batu Pahat, Johor Bahru pada Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 25 Disember 1955.

Individu berkenaan dikenali sebagai Naim Sukran yang ketika itu mencadangkan tarikh 31 Ogos, 1957 sebagai tarikh kemerdekaan sebelum dipersetujui oleh beberapa pemimpin seperti pengasas dan Presiden Umno, Dato’ Onn Jaafar.

Cucu kepada Naim, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, dia sering mendengar kisah sebelum kemerdekaan yang dikongsikan datuknya ketika kanak-kanak.

Menurutnya, ketika itu dia tidak dimaklumkan mengenai sumbangan datuknya yang mencadangkan tarikh kemerdekaan namun selepas menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pulau Pinang, dia bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas untuk program ramah mesra.

“Pertemuan itu berlaku 11 tahun lalu dan diberitahu datuk saya seorang pejuang dan terlibat secara tidak langsung dalam kemerdekaan.

“Bermula dari situ kami mencari berita yang berkaitan dengan datuk saya dan mendapati beliau pernah mengusulkan tarikh kemerdekaan,” katanya ketika ditemui di pejabat DPMM baru-baru ini.

Jelasnya, dalam artikel terbitan Utusan Melayu pada 7 Mei, 1971 itu memaparkan Naim yang berkata telah membuat pertemuan dengan pemimpin ketika itu dan berbincang mengenai cadangan tarikh kemerdekaan.

Lebih menguatkan lagi apabila satu jurnal milik Naim yang menjadi simpanan keluarganya ditemui dengan memaparkan nama pemimpin dan individu yang bersetuju dengan tarikh yang dicadangkannya itu.

Antara nama yang ditulis pada jurnal tersebut adalah Ahmad Badawi, Saadon, Sulaiman Adam dan wakil-wakil pemuda Umno ketika itu seperti Burhan Ahmad, Samad Idris, Sulaiman Palestin, Azhar dan beberapa nama lain yang agak kabur tulisannya.

Keratan akhbar mengenai Naim Sukran.

Rizal yang juga Presiden DPMM menganggap datuknya sebagai seorang wira yang tidak didendangkan dan masih ramai lagi yang seangkatan dengan datuknya.

“Sumbangan mereka sebelum merdeka sehingga awal mendapat kemerdekaan adalah paling bermakna buat kita semua.

“Saya percaya datuk saya pasti tidak terlalu mahu menonjolkan diri mengenai tarikh kemerdekaan ini,” katanya.

Jelasnya, ketika Tanah Melayu di awal kemerdekaan, turut timbul persoalan mengenai sama ada memilih Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan.

Rizal berkata, datuknya antara individu yang tegas mahukan Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan ia jelas dapat dilihat dalam keadaan kini.

Tanggal 31 Ogos, 1957 merupakan hari keramat bagi Persekutuan Tanah Melayu kerana ia menandakan tamatnya penjajahan kuasa-kuasa asing selama hampir 450 tahun dan bermulanya sebuah negara berdaulat dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.

Minggu lalu, negara menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-60 di mana sambutan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan pemilihan venue tersebut dilihat melambangkan transformasi 60 tahun usia Malaysia. – MO