Kemerdekaan bukan sekadar laungan, kata Ibrahim Ali

 |Sep 4, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Setiap kali 31 Ogos tiba, sudah tentu laungan Merdeka akan kedengaran di mana-mana sahaja. Itu antara rutin yang selalu dilakukan bagi menunjukkan semangat patriotisme.

Begitu juga baru-baru ini apabila Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan yang ke-60.

Namun, bagi Datuk Ibrahim Ali, laungan tersebut bukan sekadar kata-kata yang diluahkan bibir tetapi ia harus mempunyai makna yang mendalam kepada pelontar kata-kata keramat itu.

Dilahirkan pada 25 Januari 1951 di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan, Ibrahim menyingkap kembali kenangannya ketika awal kemerdekaan pada tahun 1957.

Menurutnya, disebabkan jajahan Tumpat bersempadan dengan Thailand menjadikan penduduk di kawasan berkenaan lebih banyak melakukan kegiatan harian di negara itu berbanding di bandar Kota Bahru, Kelantan.

Katanya, penduduk terpaksa menggunakan sampan untuk merentasi sungai Kelantan untuk ke Kota Bahru sebelum Jambatan Sultan Yahya Petra siap dibina pada 1969.

“Walaupun sudah mencapai kemederkaan tetapi suasana sekeliling seperti di dalam negara Thailand.

“Keadaan ini berubah apabila jambatan pertama siap dibina dan barulah ada pergerakan penduduk di kawasan tempat tinggal saya,” katanya.

Ibrahim berkata, setiap kali sambutan kemerdekaan, penduduk kampung di jajahan Tumpat akan merentasi sungai Kelantan ke Padang Merdeka di Kota Bahru dengan menggunakan sampan.

Menurutnya, kemeriahan dapat dirasai apabila banyak sampan berada di sungai Kelantan dan orang ramai seakan-akan berpesta sebelum berkumpul di Padang Merdeka itu.

Jelasnya, ketika negara diberi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, beliau baru memasuki darjah satu di Sekolah Rendah Padang Mandol, Tumpat dan diarahkan berkumpul di luar bilik kelas dan melaungkan merdeka bersama murid dan guru-guru lain.

“Sekurang-kurangnya saya bersyukur kerana saya sempat di waktu negara mencapai kemerdekaan,” katanya dalam satu tembual bersama Malaysia Outlook baru-baru ini.

Menurutnya, ketika perhimpunan semua murid akan menyanyikan lagu kebangsaan dan ada pidato pendek yang disampaikan pelajar bagi memupuk semangat patriotisme.

Katanya, sepanjang zaman persekolahan, beliau tidak pernah ketinggalan untuk melibatkan diri secara aktif dalam sambutan kemerdekaan.

Apabila melangkah ke Institut Teknologi MARA (ITM) pada tahun 1971, sikap kepimpinannya semakin menyerlah apabila dilantik menjadi pemimpin pelajar.

Jawatan yang digalasnya itu digunakan dengan sebaiknya apabila tiba sambutan kemerdekaan dengan menyambutnya dengan cara berbeza dan bukan sekadar memainkan muzik.

“Hampir tiga tahun saya menghidupkan perayaan menyambut kemerdekaan di ITM Shah Alam dengan mewujudkan speaker’s corner dan menghimpunkan pelajar berpidato serta bercakap soal perjuangan bangsa,” katanya.

Uniknya mengenai cara sambutan Presiden Perkasa ini, beliau menghidupkan kembali nama pejuang bangsa terdahulu seperti Datuk Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Ku Paloh, Rosli Dhobi dan ramai lagi.

Menurutnya, kesemua pejuang ini sanggup mengorbankan darah, titik peluh dan kehidupan bagi mengangkat maruah bangsa, jati diri serta kesucian agama melalui perjuangan mulia dinamakan kemerdekaan.

Jelasnya, sehingga kini, nama-nama berkenaan terus menjadi sebutannya kerana perjuangan menentang penjajah bukan bermula sebelum tahun 1957 tetapi pada zaman kesultanan Melayu lagi.

“Dengan mengingati mereka ini sebenarnya cara saya membentuk jati diri dan semangat patriotik sehingga ke hari ini,” katanya yang tidak pernah tewas dari segi semangat walaupun menempuh dugaan dalam dunia politik.

Sedih dengan sambutan kemerdekaan di era kemodenan

Ibrahim apabila ditanya mengenai sambutan kemerdekaan pada masa kini menganggap suasananya sudah tiada lagi semangat patriotisme.

Lebih menyedihkan apabila kerajaan dan agensinya terpaksa mengagihkan bendera untuk berkempen dan ini tidak seharusnya berlaku.

Jelasnya, insituti seperti sekolah perlu memainkan peranan penting dalam memupuk semangat patriotisme ini dalam aktiviti kurikulum dengan mewujudkan jati diri dalam program yang diadakan.

“Dulu ketika zaman persekolahan, kami mendengar cerita mengenai Mat Kilau dan pahlawan Melayu lain tetapi kini sudah tiada, ditambah lagi kini sudah dilanda dengan fahaman liberal.

“Mereka kini menyebut tokoh terkini dalam bidang teknologi seperti Bill Gates tetapi tiada tokoh zaman silam termasuk ada yang tidak mengenali Datuk Onn Jaafar serta tidak mengetahui nama penuh bapa kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman,” katanya.

Ibrahim berkata, adalah penting sambutan kemerdekaan diisi dengan semangat patriotisme dan bukan sekadar program hiburan semata-mata.

“Pengisian sambutan merdeka selalu berhimpun, berbaris, tapi apakah maksud dalam hati nurani jiwa rakyat?

“Adalah penting pengisian sambutan kemerdekaan disusuni dengan memastikan seluruh rakyat daripada generasi muda hingga dewasa menghayati erti kemerdekaan.

“Apabila mereka faham erti kemerdekaan, wujud semangat cintakan negara dan barulah ada integrasi nasional yang dilihat kini semakin carca merba,” katanya yang menghormati cara bangsa Indonesia pada setiap kali sambutan kemerdekaan mereka.

Jelasnya, kerajaan terutamanya perlu melihat kembali aktiviti untuk pengisian bagi perayaan kemerdekaan supaya ia dapat membantu membentuk jati diri patriotisme dalam jiwa anak muda. – MO