Bukan mudah menggalas tugas sebagai pengulas sukan

 |Sep 4, 2017
Gambar fail kredit Facebook Hafizal Hamad.

KUALA LUMPUR: Tanggungjawab sebagai pengantara buat penonton sepanjang 13 hari temasya Sukan SEA ke-29 yang berlangsung baru-baru ini bukanlah perkara mudah.

Perkara ini diakui pengulas sukan terkenal, Hafizal Hamad yang dipertanggungjawabkan untuk membawa semangat dari gelanggang permainan atau stadium menerusi kaca televisyen terus kepada penonton.

Menurutnya, tugas tersebut sukar kerana perlu membawa emosi penonton seolah-olah mereka berada di gelanggang bagi merasai suasana sebenar.

“Selalunya apabila melibatkan acara yang besar, saya mengambil masa satu bulan untuk membuat persediaan termasuk dari segi pengetahun yang diperolehi daripada pembacaan, dan tidak mengharapkan kepada carian laman web sahaja.

“Ini kerana kami mahu memberikan yang terbaik kepada penonton termasuk maklumat mengenai sukan dan atlet yang terlibat,” katanya ketika dihubungi Malaysia Outlook baru-baru ini.

Hafizal, 38, berkata, sudah tentu debaran menjadi pengulas Sukan SEA di Kuala Lumpur amat dirasainya kerana mahu memberikan yang terbaik selepas 16 tahun negara menjadi tuan rumah kepada sukan terbesar di rantau Asia Tenggara.

Menurutnya, menjadi pengulas sukan yang terbaik perlu mempunyai pengetahuan yang luas dalam semua jenis sukan dan sentiasa bersedia pada setiap masa.

Bapa kepada dua anak ini berkata, pengalaman menjadi pengulas sukan SEA yang sering diingatinya adalah ketika temasya sukan itu berlangsung di Singapura.

“Ketika itu saya diberi peluang untuk jadi pengulas bagi sukan silat dan pada waktu itu saya berikan yang terbaik untuk bawa emosi penonton di Malaysia seolah-olah mereka berada di gelanggang.

“Itu antara saat yang tidak boleh dilupakan dan ia hanya datang sekali sahaja,” katanya.

Pengulas sukan dari stesen TV Astro Arena ini berkata, antara cabaran yang dihadapi adalah tidak mempunyai waktu tidur yang mencukupi kerana mahu memberikan ulasan sukan yang terbaik kepada penonton.

“Orang tengok di televisyen seronok tetapi persediaan untuk membuat lintas langsung adalah berbeza. Perkara utama adalah kita tidak mahu kelihatan bodoh apabila bersiaran,” katanya yang menjadikan Allahyarham Datuk Hasbullah Awang dan Zainal Abidin Abd Rawop sebagai idolanya.

Mengulas mengenai prestasi atlet dan juga rakyat Malaysia pada sambutan temasya Sukan SEA 2017, beliau berkata sokongan rakyat tanpa berbilang kaum dapat dilihat melalui acara sukan.

Menurutnya, elemen sukan dapat membentuk satu plot perpaduan negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa. – MO