Tak ada orang suka kalah, kata TMJ

 |Aug 30, 2017
Gambar paparan skrin dari video Facebook Football Association of Malaysia (Official).

PETALING JAYA: “Tak ada orang suka kalah tapi itu tidak bermakna itu perjalanan terakhir kita,” itu kata-kata dorongan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada skuad negara selepas perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA ke-29 di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Selepas tamat permainan, TMJ bergegas ke bilik persalinan untuk memberikan kata-kata dorongan kepada skuad negara B22 supaya menerima kekalahan dengan hati terbuka.

“Saya tengok hari ini (perlawanan akhir) ada dua emosi bercampur. Satu, saya kecewa dengan kekalahan dan satu lagi saya bangga dengan apa yang kita ada untuk masa akan datang.

“Memang patut sedih dan kecewa, tetapi tiada seorang pun yang berada di dalam bilik ini yang telah memalukan negara,” katanya kepada pemain-pemain pasukan Harimau Malaya yang kalah kepada Thailand malam tadi.

Tunku Ismail berkata, pemain negara adalah aset negara kerana masih muda untuk beraksi pada perlawanan akan datang.

“Saya sebagai Presiden FAM berbangga kerana ada individu seperti anda dan sudah tentu keluarga pun bangga dengan anda.

“Ada satu perkataan yang ingin saya sampaikan kepada anda semua iaitu terima kasih,” katanya.

Ujarnya, perjalanan masih jauh dan menasihatkan sukad negara untuk jangan sedih serta menjadikan kekalahan itu sebagai senjata bagi memperbaiki mutu permainan.

Menerusi rakaman yang dimuat naik FAM di laman Facebook persatuan itu, Tunku Ismail turut mengumumkan akan memberikan insentif susulan pencapaian skuad negara yang dilhat sudah mencapai tahap tertinggi.

Pada perlawanan Malaysia menentang Thailand semalam, skuad negara gagal mendapatkan ‘ibu emas’ selepas Thailand menang tipis 1-0.

Thailand mencatat hatrik emas kali ketiga berturut-turut Sukan SEA bagi bola sepak. – MO