Pelajar sekolah ditahan baling mercun selepas perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA

 |Aug 30, 2017
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menunjukkan mercun yang dirampas di rumah pelajar sekolah yang ditahan semalam.

SHAH ALAM: Seorang remaja ditahan selepas dipercayai membakar dan melontarkan mercun selepas perlawanan akhir bola sepak di antara Malaysia dan Thailand di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam, anggota polis yang sedang membuat rondaan terserempak dengan suspek yang berusia 16 tahun membaling mercun ketika berjalan kaki untuk keluar dari perkarangan stadium.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, pemeriksaan pada suspek yang masih bersekolah menemui satu pemetik api dalam genggaman tangan kanannya.

“Suspek mengaku membawa mercun jenis bola sebanyak dua biji yang diperolehinya semasa musim perayaan dan masih menyimpan baki mercun itu di dalam rumahnya.

“Susulan itu, polis menyerbu rumah suspek di Klang dan menemui 40 biji mercun bola di dalam rumahnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati suspek ke stadium berkenaan bersama kakaknya tetapi duduk berasingan.

Katanya, suspek dipercayai berjaya melepasi kawalan keselamatan selepas membaling mercun yang dibungkus dengan kain atau kertas sebelum masuk ke kawasan stadium.

Mazlan berkata, suspek ditahan reman dua hari hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan penjara tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Jelasnya, polis mengambil serius perkara tersebut dan mahukan tindakan dakwaan dilakukan terhadap suspek bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang lagi.

Sementara itu, Mazlan berkata, polis mencari individu yang dipercayai membaling mercun ketika perlawanan Malaysia menentang Indonesia pada Sabtu lalu.

Menurutnya, individu berkenaan dikenal pasti membakar mercun ketika perlawanan dan siasatan dijalankan bagi mengesan suspek. – MO