Sukan SEA: Malaysia capai sasaran 111 emas

 |Aug 29, 2017
Gambar kredit Twitter @najibrazak.

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara selepas berjaya mencapai sasaran 111 pingat emas pada Sukan SEA ke-29.

Pingat emas ke -111 itu berjaya dicapai jaguh lumba basikal negara, Mohd Azizulhasni Awang selepas menewaskan rakan sepasukan, Muhamad Shah Firdaus Sahrom dalam acara pecut final di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi.

Detik perkiraan angka 111 bermula selepas skuad gimrama meraih pingat emas ke-100 menerusi Amy Kwan Dict Weng dalam acara riben dan kutipan pingat meningkat menerusi acara gimrama, terjun, silat, skuasy dan hoki sebelum skuad berbasikal negara menghadiahkan emas ke-109, 110 dan ke-111.

Najib menerusi akaun Facebooknya menerusi aplikasi Live menyampaikan ucapan tahniah ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek River Of Life ( Sungai Nadi Kehidupan) dan Kolam Biru di Masjid Jamek, malam tadi.

“Saya telah diberitahu Malaysia sudah pun meraih 111 pingat emas dan menetapi sasaran yang telah kita tetapkan untuk muncul sebagai juara keseluruhan.

“Saya ingin menyampaikan penghargaan syabas kepada semua atlet negara yang telah berjaya memungut pingat emas, perak dan gangsa sekaligus menjadikan Sukan SEA pada tahun ini sebagai pencapaian terbaik kontinjen Malaysia dalam sejarah,” katanya.

Menurutnya, biarpun sukan dwitahunan itu bakal melabuhkan tirai dalam masa dua hari lagi, masih ada lagi acara perlawanan yang disertai kontinjen negara dan bakal menambah koleksi pingat.

Najib berkata, kemenangan awal oleh atlet ketika permulaan sukan berkenaan menjadi pemangkin semangat kepada atlet lain untuk bersama menyumbang pingat kepada negara.

Beliau dalam ucapannya sempat berjenaka berhubung pelepasan cuti bagi meraikan kejayaan mencapai sasaran pingat emas.

“Ramai yang memuji dan ramai yang juga minta cuti di diisytiharkan.

“Ada dua kegemaran rakyat Malaysia… satu makan, dan satu lagi cuti AM.

“Tunggu dululah sebab Sukan SEA belum habis lagi. Kita tunggu dulu,” katanya.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memilih Twitter untuk berkongsi berita gembira apabila beliau menulis, “Mission accomplished. #111 done. #KitaJuara” (Misi tercapai#11 dilakukan #KitaJuara), menunjukkan bahawa Malaysia telah muncul juara keseluruhan. – MO