SKMM pertimbang cadangan daftar portal berita

 |Aug 28, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini sedang dalam peringkat akhir perbincangan untuk mewajibkan portal berita didaftarkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, pihaknya sudah melakukan kajian terperinci termasuk perbincangan dengan pihak tertentu yang terlibat dalam media dalam talian (online).

Salleh berkata, cadangan tersebut dalam peringkat akhir untuk dikemukakan kepada Peguam Negara pada tahun ini.

Menurutnya, selepas mendapat keputusan daripada Peguam Negara, pihaknya akan mengadakan perbincangan khas dengan portal yang terbabit sebelum dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Cadangan ini bagi memastikan portal berita lebih bertanggungjawab dan memastikan koordinasi pembangunan media dalam talian lebih teratur.

“Kami akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan memanggil pengendali portal untuk berbincang mengenai cadangan tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Instagram Merdeka 2017 #im60 di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Salleh berkata, pihaknya sedang meneliti cadangan berkenaan termasuk melakukan kajian terperinci dengan mengambil contoh pelaksanaan di negara jiran seperti Singapura.

“Kita ada cadangan untuk mendaftar media online tetapi ada kriteria yang perlu dikenal pasti iaitu antaranya bilangan pengunjung pada setiap bulan.

“Contohnya di Singapura, sesebuah portal yang mempunyai pengunjung lebih 50,000 diwajibkan untuk mendaftar dan mungkin itu akan dilakukan di negara ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Sementara itu, pertandingan Instagram Merdeka 2017 #im60 yang dianjurkan Jasa dilihat berjaya menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan remaja sempena sambutan kemerdekaan negara ke-60.

Sebanyak 31,220 penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat diterima sejak April hingga 16 Ogos lalu iaitu 29,336 penyertaan bagi kategori foto dan 1,884 bagi kategori video. – MO