Isu bendera terbalik: Laskar Merah Putih gesa Najib mohon maaf

 |Aug 25, 2017
Datuk Dr Fauzi Mohamad (kiri) bersama Ketua Umum Laskar Merah Putih Indonesia Adek Erfil Manurung. – Gambar ihsan Datuk Dr Fauzi Mohamad.

PETALING JAYA: Kumpulan Laskar Merah Putih Indonesia menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membuat permohonan maaf susulan isu bendera negara itu yang dicetak terbalik di dalam buku cenderamata Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Perkara itu dinyatakan penasihat Pertubuhan Al-Qalam Malaysia dan Indonesia Datuk Dr Fauzi Mohamad, selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Umum Laskar Merah Putih Adek Erfil Manurung.

Menerusi satu kenyataan, Dr Fauzi berkata pertemuan beliau itu adalah untuk meminta maaf bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia kepada seluruh rakyat Indonesia mengenai insiden bendera terbalik.

“Dalam waktu yang sama Ketua Polis Negara Malaysia telah berjanji akan menyiasat perkara tersebut,” kata Dr Fauzi yang juga merupakan penasihat Markas Besar Laskar Merah Putih Indonesia.

Tambahnya lagi, beliau telah meminta semua anggota Laskar Merah Putih di seluruh Indonesia tidak mengulangi demonstrasi di kedutaan Malaysia susulan insiden itu.

Dalam pada itu, Dr Fauzi menjelaskan kumpulan Laskar Merah Putih menggesa Najib datang ke Indonesia dan meminta maaf kepada rakyat republik negara itu.

Katanya, mereka menganggap permohonan maaf yang dibuat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi pertemuan dengan Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi di Kuala Lumpur adalah tidak mencukupi.

Menurutnya, Adek Erfil berkata akan mengadakan demonstrasi lebih kerap dengan disertai ribuan anggota Laskar Merah Putih jika Najib enggan membuat permohonan maaf.

Susulan insiden bendera terbalik itu, Laskar Merah Putih mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan Kompleks Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi meluahkan kekecewaan mereka pada Isnin lalu.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo menyatakan bahawa Indonesia telah memaafkan Malaysia berhubung kesilapan penganjur Sukan SEA itu mencetak bendera Indonesia secara terbalik setelah menerima permohonan maaf secara rasmi daripada kerajaan Malaysia.

Jokowi turut mengesa rakyatnya agar tidak agresif dan berlebihan dalam memberi reaksi berhubung isu bendera berkenaan. – MO