Tragedi Memali: Mereka bukan pengganas, kata Nazri

 |Aug 24, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan tindak balas kerajaan ketika tradegi berdarah di Memali, Baling, Kedah adalah tidak bertepatan dengan keadaan pada waktu itu.

Beliau berkata, tindakan yang diambil oleh kerajaan dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu dianggap kasar kerana penduduk di kawasan berkenaan bukanlah pengganas.

“Saya menyokong penuh cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan mahu tahu siapa yang mengeluarkan arahan ketika itu.

“Penduduk Memali terdiri daripada orang kampung yang tiada senjata moden. Mereka bukan merupakan pengganas, jadi sepatutnya tindakan terhadap mereka itu sepatutnya menggunakan pendekatan seperti (meleraikan) demonstrasi.

“Mungkin ada punca lain kejadian itu tetapi tindakan yang dilakukan adalah tidak seimbang kerana mereka (penduduk Memali) adalah orang kampung dan mereka kalau dilihat, seolah-olah ‘dirasuk’,” katanya selepas pelancaran Pasareka di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Jelasnya, Mahathir yang ketika itu sebagai Perdana Menteri harus tampil memberi penjelasan susulan tindakan yang dianggap tidak sewajarnya dilakukan terhadap penduduk Memali.

Menurutnya, ketika kejadian itu, beliau terlibat dalam Pemuda Umno dan memberikan contoh kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika menangani kes Al-Ma’unah di Sauk, Perak pada tahun 2000.

“Ketika itu Najib adalah Menteri Pertahanan dan beliau menggunakan kaedah memujuk dan tiada orang kampung yang mati,” katanya.

Katanya, tindakan berkenaan bertentangan sekali dengan Mahathir dalam menangani tragedi di Memali pada tahun 1985.

“Kita perlu tahu siapa yang bagi arahan untuk menembak,” katanya.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan bersedia menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.

Peristiwa Memali pada 19 Nov 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya. – MO

SHARE