Pembahagian cukai pelancongan: Kerajaan tolak cadangan Sarawak

 |Aug 24, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak cadangan Sarawak yang mahukan pembahagian sama rata kutipan cukai pelancongan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang berkuatkuasa 1 September ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, cadangan untuk pembahagian cukai pelancongan sama rata tidak dapat dilaksanakan kerana bilangan bilik di semenanjung adalah sebanyak 84 peratus berbanding di Sabah dan Sawarak hanya 16 peratus.

Cukai pelancongan akan dikenakan terhadap hotel dan premis yang mempunyai lebih daripada lima bilik dan hanya dikenakan terhadap pelancong luar negara dengan caj RM10 satu bilik, satu malam.

“Jika diikutkan Sabah dan Sarawak bukanlah penyumbang terbesar cukai pelancongan berbanding Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor dan Pahang.

“Duit ini adalah pembangunan infrastruktur dan menjayakan program anjuran Sabah, Sarawak dan Semenajung.

“Setiap RM1 daripada cukai pelancongan yang dikutip akan diberikan mengikut negeri dan ia sebagai token,” katanya selepas pelancaran Pasareka di Kompleks Kraf Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerajaan Sarawak yang berharap kadar perkongsian lebih munasabah dapat dipertimbangkan dalam pembahagian kutipan cukai pelancongan itu.

Kerajaan Sarawak melalui Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini menjelaskan kadar awal sebanyak 10 peratus daripada RM10 kutipan cukai itu agak rendah dan tidak bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Nazri jelas kesal dengan tindakan Sarawak yang seolah-olah tidak memahami pelaksanaan cukai pelancongan dan berharap pertemuan khas diadakan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Cukai pelancongan yang mula dikutip Jabatan Kastam Diraja Malaysia dijangkakan akan memperolehi RM20 hingga RM30 juta dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini.

Nazri berkata sebanyak RM200 juta dalam setahun dijangka diperolehi melalui cukai pelancongan dalam tempoh masa setahun. – MO