Wanita kental dari Malaysia berbakti di bumi Kanada

 |Aug 23, 2017
Sabariah Hussein semasa ditemubual CTV News. – Gambar paparan skrin dari video CTV News.

KUALA LUMPUR: “Siapa yang harus saya bantu hari ini,” itu persoalan yang ditimbulkan Sabariah Hussein kepada dirinya setiap pagi sejak melibatkan diri dalam kerja kebajikan di Montreal, Kanada.

Sabariah yang berasal dari Johor Baharu berhijrah ke Kanada 30 tahun lalu setelah menamatkan satu kursus masakan antarabangsa di Kuala Lumpur.

Menerusi video temubual Sabariah bersama laman media Zinc, wanita berusia 70 tahun itu terlibat dalam kerja kebajikan dengan menyediakan makanan kepada gelandangan, pelarian dan orang miskin di sekitar bandar Montreal, Kanada.

Dalam wawancara bersama Montreal Gazzete pula, Sabariah berkata, semuanya bermula apabila dia terlibat dalam aktiviti masyarakat Islam di Montreal. Sebelum itu Sabariah sudah berjinak dengan kerja amal bersama keluarganya yang besar di Malaysia.

Menurutnya, sekumpulan 20 sukarelawan dari universiti tempatan membantu menyediakan makanan setiap hari untuk di agihkan kepada kira-kira 400 orang di gereja dan masjid di kediamannya di Côte-des-Neiges–Notre-Dame-de-Grâc, Montreal, Quebec.

Baginya, sesiapapun tidak kira latar belakang, kaum, agama, mahupun jantina perlu diberi bantuan dan pertolongan.

“Dalam Islam, kita perlu bersatu. Sebab itulah saya mahu lakukan kerja kebaikan. Saya bukan mencari populariti tetapi saya mahu masyarakat tahu bahawa Muslim adalah orang-orang yang baik juga,” katanya.

Menurutnya, dengan usianya kini, dia menganggap masa semakin suntuk untuk membuat kerja amal.

Sabariah yang digelar Muslim Mother Teresa of Montreal, menjelaskan sumbangan yang dilakukan dapat dijadikan inspirasi kepada generasi muda beragama Islam untuk keluar membantu mereka yang memerlukan.

“Mereka ini akan melihat satu sisi lain mengenai Islam yang sering kali mereka dengar perkara yang tidak elok mengenai Islam.

“Orang Islam bukanlah orang jahat,” katanya.

Disebalik semangat jiwa yang kental, wanita ini pernah diserang angin ahmar sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2004 dan 2005.

Namun, ia tidak mematahkan semangat beliau untuk terus memberi sumbangan kepada yang memerlukan.

Menurut wawancara dengan Zinc, Sabariah sebelum ini terpaksa menolak tawaran untuk bertemu Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau kerana terlalu sibuk berkhidmat kepada yang memerlukan.

Namun, dia berharap akan mendapat peluang untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Kanada nanti dan akan menyediakan makanan kegemarannya iaitu mee goreng ala Malaysia.

Sabariah bekerjasama rapat dengan sebuah badan amal Kanada-Muslim iaitu Human Concern International bagi membiayai kanak-kanak pelarian Rohingya.

Jelasnya, kerja amal yang dilakukan adalah kerana Allah SWT kerana tidak melakukannya untuk sebarang bayaran. – MO