SPRM tidak memilih sasaran, kata Dzulkifli

 |Aug 23, 2017
Datuk Dzulkifli Ahmad. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad menegaskan agensi berkenaan tidak meletakkan sebarang sasaran terhadap mana-mana individu untuk ditahan bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, SPRM tidak memilih sasaran dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam aktiviti jenayah rasuah akan disiasat tidak mengira individu berkenaan berjawatan ahli polilitk, penjawat awam atau ahli perniagaan.

“Jika kita lihat, tindakan SPRM yang diambil tidak memilih sasaran dan siapa sahaja yang terlibat akan dikenakan tindakan sepatutnya ataupun tindakan pada masa hadapan. Kita tunggu dan lihat,” katanya pada sidang media pelancaran teater terbitan SPRM iaitu Bahara Emas di Istana Budaya hari ini.

Ini sekaligus menepis dakwaan Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong yang menganggap tindakan SPRM menyerbu Universiti Selangor (Unisel) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) semalam sebagai satu tindakan terancang yang bertujuan menjejaskan imej kerajaan Negeri Selangor.

Dzulkifli berkata, setiap kali laporan yang dibuat, pihaknya akan menjalankan siasatan dan selepas dikaji laporan tersebut mempunyai asas, SPRM akan mengambil tindakan selanjutnya.

Menurutnya, tindakan itu pelbagai, termasuk menyita dokumen dan membuat tangkapan terhadap mereka yang sepatutnya.

“Kita tidak boleh ambil tindakan serentak dan apabila masa sesuai kita akan buat keputusan untuk masuk (serbu).

“Kita juga tidak boleh beritahu siapa dan dimana kerana ini semua adalah siasatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan perkembangan serbuan yang dibuat susulan Jana Niaga didakwa menerima pampasan kewangan dan kontrak baru daripada Unisel, walaupun gagal melengkapkan kontrak sebelumnya. – MO