Akaun Instagram gimnas negara Farah Ann digodam

 |Aug 23, 2017

PETALING JAYA: Atlet gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi menjadi mangsa mereka yang tidak bertanggungjawab apabila akaun Instagramnya (IG) digodam, semalam.

Pemerhatian di laman IG milik Farah Ann, hanya terdapat tiga keping gambar yang tiada kaitan dengan kehidupan dan karier atlet berusia 23 tahun itu.

Pada akaun yang tertulis nama @farahann94 terdapat gambar seorang lelaki dan terdapat tulisan akaun untuk dijual di dalam bahasa Arab dan bahasa Inggeris.

Menerusi tiga gambar tersebut, penggodam bertindak menutup ruangan komen mungkin bagi mengelakkan dirinya dari terus di kecam.

Bagaimanapun, peminat atlet ini masih boleh mengikuti perkembangan kariernya di akaun keduanya iaitu @farah_ann2.

Susulan insiden itu, pelbagai reaksi dari netizen timbul, rata-rata memarahi penggodam tersebut.

Peminat meluahkan kemarahan mereka kerana memadam semua gambar Farah Ann dan merosakkan perasaan gimnas kebangsaan itu yang kini bertanding di Sukan SEA 2017.

Farah Ann baru muncul sebagai pemenang pingat emas hari ini di Sukan SEA di dalam acara senaman lantai individu wanita.

Atlet itu biasanya akan berkongsi foto dan akan menggunakan laman sosialnya untuk berinteraksi dengan lebih dekat dengan peminatnya.

Akaun yang digodam itu memiliki 114 ribu pengikut dan akaun baru Farah Ann setakat ini mempunyai 178 pengikut. – MO

SHARE