Bendera terbalik: 33 laman web Malaysia digodam

 |Aug 22, 2017
Paparan skrin salah sebuah laman sesawang yang telah digodam.

PETALING JAYA: Lebih 30 laman web Malaysia menjadi mangsa pengodam yang dipercayai dari Indonesia susulan insiden bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderamata pembukaan rasmi Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017, Sabtu lalu.

Berdasarkan pemerhatian antara laman web yang digodam ialah laman web Sekolah Seri Puteri, seriputeri.edu.my, innercircle.my. dan kualalumpurmalaysia.com yang dimiliki penulis motivasi dan jutawan Azizi Ali.

Antara mesej yang ditinggalkan, Bendera Negaraku Bukanlah Mainan dan mereka meletakkan gambar daripada buku panduan itu selain kata-kata kesat.

Portal berita Indonesia, Suara.com pula melaporkan laman yang digodam kebanyakannya milik persendirian dan blog perniagaan di Malaysia.

Terdapat juga netizen yang memberikan komen bahawa laman-laman yang digodam itu jarang digunakan oleh rakyat Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, sebanyak 33 laman web Malaysia digodam setakat 3.40 petang, semalam.

Katanya, antara laporan diterima, kemungkinan kebocoran maklumat sulit dan serangan Distributed Denial of Service (DDoS – Pemberhentian Perkhidmatan).

“Ketika ini kita masih menjalankan siasatan, memantau perkembangan dan berkerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengatasi kejadian serangan siber.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, CyberSecurity Malaysia mengingatkan pentadbir sistem untuk meningkatkan keselamatan sistem masing-masing bagi mengelakkan daripada ancaman serangan siber,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, setiap organisasi dinasihatkan melindungi sistem rangkaian masing-masing, memastikan sistem, aplikasi yang berkaitan dinaik taraf dengan sistem keselamatan terkini.

“Sekiranya masih menggunakan sistem operasi atau perisian versi lama, organisasi perlu memastikan ia dinaiktaraf ke perisian terkini kerana versi lama mudah untuk dimanipulasi oleh penceroboh. Selain itu, pastikan aplikasi berasaskan web dan rangkaian dipasang sewajarnya.

“Pastikan perisian anti virus anda dikemaskini dan mampu mengimbas semua fail termasuk dalam emel,” katanya.

Amirudin berkata, orang ramai boleh merujuk ke laman web CyberSecurity Malaysia https://www.mycert.org.my/en/services/advisories/mycert/2017/main/index untuk maklumat lanjut dan kemas kini terkini mengikut saranan mereka.

Katanya, laporan berhubung serangan siber ini boleh dibuat kepada Cyber999, menerusi emel [email protected] or [email protected]; telefon, 1-300-88-2999 ; fax, 603 89453442; telefon bimbit, 019-2665850 (beroperasi 24 jam setiap hari) dan hantarkan khidmat pesanan ringkas ke 15888.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memohon maaf kepada semua rakyat Indonesia dan rakan sejawatannya, Imam Nahrawi, dalam kunjungan hormat susulan kesilapan mencetak bendera negara itu.

Presiden Indonesia, Joko Widodo dilaporkan turut meminta rakyatnya tidak bersikap berlebihan dan memperbesarkan isu itu.

Rentetan isu tersebut, ratusan anggota beberapa pertubuhan hari ini mengadakan protes di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, dengan menuduh penganjur KL2017 sengaja mencetak bendera Indonesia secara terbalik. – MO