Projek eDrive dan ITIS: ‘SPRM harus siasat’

 |Aug 21, 2017
Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng (dua dari kanan) di luar pejabat SPRM Wilayah Persekutuan hari ini. – Foto MO Azrol Ali.

CHERAS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) susulan timbul persoalan dalam perbelanjaan untuk projek aplikasi eDrive dan sistem maklumat pengangkutan bersepadu (ITIS).

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata, DBKL harus menjawab mengenai pembayaran harga yang melebihi harga pasaran dalam projek aplikasi eDrive dan ITIS.

Menurutnya, menerusi sebuah akhbar tempatan, pihaknya mendapati DBKL telah membelanjakan RM2.9 juta untuk aplikasi eDrive yang dikatakan boleh menampilkan pelbagai maklumat trafik kepada pengguna jalan raya di Kuala Lumpur.

“SPRM harus menyiasat perbelanjaan tersebut kerana aplikasi berkenaan hanya memberikan maklumat trafik kepada pengguna dan ia bukanlah sebuah aplikasi navigasi.

“Aplikasi navigasi seperti Waze dan google Maps adalah percuma,” katanya selepas menyerahkan surat desakan siasatan di pejabat SPRM Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Lip Eng turut mendakwa DBKL membelanjakan RM198 juta untuk penyelenggaraan ITIS selama enam tahun dan jumlah yang dibelanjakan oleh ITIS sejak diperkenalkan pada 2002 adalah sebanyak RM565 juta.

“SPRM harus juga menyiasat siapa yang meluluskan kontrak ITIS sama ada harga serta kos penyelenggaraan yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran.

“Mereka perlu juga menyiasat sama ada kontrak ITIS diberikan melalui sebut harga tender atau bagaimana,” katanya.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, SPRM diberikan tempoh empat minggu untuk menjalankan siasatan dan sekiranya gagal perkara tersebut akan dibawa ke peringkat Dewan Rakyat. – MO