Polis siasat kes gambar Shafie Apdal berbaju lokap SPRM

 |Aug 21, 2017

KUALA LUMPUR: Tular di media sosial baru-baru ini gambar Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Susulan perkara itu, satu laporan polis dibuat kakitangan Warisan iaitu Nadiah Natasha Abdul Lachik, 25.

Dalam laporan tersebut, dia berkata mendapati sebuah laman Facebook milik Hafizi Harris melalui catatannya pada Sabtu lalu secara salah mendakwa Shafie dan Naib Presidennya, Peter Anthony ditahan SPRM.

“Pemilik akaun tersebut mendakwa Shafie telah ditahan SPRM sedangkan ketika itu Shafie menghadiri program di Sipitang.

“Ternyata viral ini adalah palsu dan berniat jahat memburukkan nama bekas menteri itu,” katanya.

Susulan itu Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Chandra Muthu berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia atas penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Chandra berkata, polis dalam proses mengenal pasti pemilik akaun Facebook dan laman web itu melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Warisan dalam kenyataan semalam berkata, Shafie menghadiri sebuah program menemui rakyat di Sipitang pada hari kejadian dan artikel serta gambar itu mencemarkan imej parti dan kepimpinannya.

Pemeriksaan di laman Facebook milik Hafizi mendapati tiada lagi status dan gambar berkaitan Shafie namun terdapat gambar Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berpakaian lokap SPRM, disertai dengan tulisan, “Bila Zuraida Kamarudin nak guna baju kaler oren ni? SPRM bila ek?” – MO