Media kini lebih bebas, kata Ahmad Zahid

 |Aug 21, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap media kini lebih bebas berbanding pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, media ketika itu seolah-olah dikongkong dan agenda mereka sudah ditentukan lebih awal sepanjang 22 tahun mantan Perdana Menteri itu memerintah negara.

Beliau berkata, perkara tersebut diperolehi dalam kajian kedoktorannya membabitkan perbandingan antara akhbar Berita Harian (BH) dan Utusan Malaysia dalam lima Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia di bawah pemimpin yang paling lama memerintah di negara ini.

“Saya melihat fakta yang terpapar dalam kajian saya itu jika ia masih relevan lagi, adalah satu gambaran bahawa penentuan agenda (media) dibuat oleh seseorang.

“Apa yang dilakukan ketika itu, mungkin dipersetujui atau tidak oleh rakan pengamal media, (tetapi) sebenarnya penentuan itu tidak banyak bergantung kepada pemilik media atau kumpulan persuratkhabaran tertentu tetapi oleh seseorang.

“Dalam hal ini, kita lihat perbezaan kebebasan akhbar diterjemahkan lebih baik pada zaman selepas beliau, tanpa kongkongan dan tanpa ada agenda yang ditentukan lebih awal,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran BH Khas Hari Kebangsaan di ruang legar tingkat dua KL Sentral di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pengamal media untuk mementingkan etika kewartawanan bagi menghasilkan nilai berita yang berkualiti.

“Jangan lakukan sesuatu ikut perasaan hati apatah lagi menterjemahkan kemarahan dalam bentuk tulisan dan akhirnya akan merosakkan masyarakat secara keseluruhan.

“Dalam hal ini, tanggungjawab sosial harus ada kepada pengamal media

“Berita yang sengaja menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan pemikiran rakyat harus diketepikan kerana tidak ada tanggungjawab sosial, ” katanya. – MO