Insiden bas atlet skuasy Sukan SEA: Pertandingan ditangguhkan sementara

 |Aug 21, 2017
Gambar ihsan PDRM.

KUALA LUMPUR: Pertandingan skuasy ditangguhkan sementara susulan kemalangan membabitkan bas yang membawa atlet skuasy dari Thailand, Filipina dan Myanmar, pagi tadi.

Setiausaha Jawatankuasa Pengelola Malaysia (Masoc), Datuk Low Beng Choo berkata, semua perlawanan yang dijadualkan pagi tadi telah ditangguhkan.

Menurutnya, satu mesyuarat bersama pengurus pasukan yang terlibat dalam kemalangan akan diadakan petang ini bagi membincangkan langkah seterusnya.

“Perbincangan ini mengenai langkah seterusnya yang akan diambil dan mendapatkan persetujuan bagi menyusun semula jadual perjalanan.

“Perlawanan lain yang tidak melibatkan atlet yang terbabit dijangka akan diteruskan pada pukul 3 petang ini, tertakluk kepada persetujuan semua pengurus pasukan, ” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian 7.30 pagi tadi, dua buah bas yang membawa 39 orang terdiri daripada 17 atlet dari Thailand, 10 atlet dari Filipina dan 12 atlet dari Myanmar serta tiga pegawai sukan dari tiga negera terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Seremban – Kuala Lumpur di hadapan Petronas berhampiran susur ke Terminal Bersepadu (TBS).

Dua buah bas berkenaan dalam perjalanan dari hotel penginapan di Putrajaya ke lokasi pertandingan di Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Beng Choo berkata, Masoc kesal dengan insiden tersebut dan beberapa atlet dan pegawai yang terlibat sedang dirawat di Pusat Rawatan Sukan (Games Medical Center – GMC).

“Kami dimaklumkan bahawa ada antara atlet dan pegawai yang terlibat telah dibenarkan untuk bertanding oleh pasukan perubatan mereka sendiri selepas menjalani pemeriksaan.

“Perkara ini sedang disiasat oleh pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Pertandingan skuasy bermula dengan pusingan pertama beregu lelaki dan wanita dengan suku akhir berlangsung jam 7 malam.

Sementata itu, Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nazri Hussain berkata, jurulatih skuad Filipina dan tujuh atlet dari Myanmar mengalami cedera ringan di kaki dan muka.

“Atlet yang cedera dibawa ke klinik untuk menerima rawatan dan dibenarkan balik ke pengkalan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati bas yang terlibat didaftarkan atas nama Syarikat Unic Leisure Transtour Sdn Bhd.

Katanya, kedua- dua pemandu sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MO