60 tahun Merdeka: Kenali sejarah untuk membentuk masa depan

 |Aug 21, 2017
Foto MO Noraizura Ahmad.

KUALA LUMPUR: Memupuk semangat cintakan negara bukan sahaja melalui kata-kata tetapi dengan pelbagai cara lain, antaranya menerusi poster hasil karya generasi muda.

Menyedari perkara tersebut, Persatuan Reka Bentuk Grafik Malaysia (wREGA) menganjurkan pameran poster yang bertajuk ‘100 tahun identiti Malaysia’ hasil karya pelajar institusi pengajian awam dan swasta serta pereka grafik tempatan.

Presidennya, Melisa Wong berkata, pameran tersebut memaparkan 108 poster yang bertemakan wawasan pereka grafik muda dalam mengolah identiti Malaysia bermula dari zaman pra 1930an ke tahun 2030.

“Seni grafik merupakan satu bentuk perhubungan visual yang mencerminkan garis masa sosial, budaya dan politik sesuatu bangsa berdasarkan sejarah dan zaman moden.

“Seni reka grafik di negara ini telah berkembang menjadi naratif khusus sesuatu peristiwa bersejarah ke sumber kajian yang mengesan kembali pengaruh kaum, budaya, agama dan status sosial yang pelbagai iaitu identiti rakyat Malaysia,” katanya.

Menurutnya, tempoh masa dari tahun 1930-an ke tahun 2030 menjadi pilihan tema adalah kerana mahu peserta yang menyertai pameran tersebut memikirkan dengan lebih mendalam mengenai sejarah.

“Pameran ini memberi ruang kepada pereka grafik untuk meluahkan sudut pandangan mereka dalam karya kerana rekaan grafik ini adalah masa depan dan untuk masa depan.

“Kita mestilah tahu sejarah sebelum mereka atau membentuk masa depan,” katanya yang menambah bahawa pameran tersebut turut diadakan bagi sambutan kemerdekaan negara yang ke-60.

Melisa yang ditemui ketika pelancaran pameran di Ruang ThinkCity, Jalan Hang Kasturi baru-baru ini berkata, pameran tersebut dibuka secara percuma kepada orang ramai sehingga Jumaat ini.

Menurutnya, pameran yang pertama kali diadakan ini diharapkan dapat memberi pemahaman kepada orang ramai mengenai kepelbagaian budaya dan ikonografi dalam koleksi poster yang dihasilkan.

Jelasnya, pameran berbentuk poster masih baru di negara ini berbanding di Jepun, Korea Selatan dan Rusia namun masih belum terlambat untuk mengembangkannya di Malaysia.

“Selepas pameran ini kita harapkan banyak penyertaan daripada pereka grafik muda dan hasil karya mereka ini akan dibukukan untuk rujukan dan kenangan pada masa hadapan,” katanya. – MO