Pribumi perjuangan untuk Mukhriz jadi PM, kata bekas exco Armada

 |Aug 18, 2017

KUALA LUMPUR: Bekas exco Armada, Mohamad Taufik Abas mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) terlalu mementingkan perjuangan menjadikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Taufik yang antara terawal menyertai parti tersebut mendakwa ahli yang menyertai parti berkenaan seolah-olah tiada kebebasan bersuara dan dikatakan sebagai ‘memakan dedak’ jika cuba melontarkan pandangan.

“PPBM (Pribumi) ini berjuang untuk Mukhriz semata-mata menjadi perdana menteri,” katanya pada sidang media di ibu negara hari ini.

Menurutnya, parti tersebut disifatkan sebagai sebuah mesin basuh yang menerima sesiapa sahaja yang bermasalah menjadi ahli dan kemudiannya menjadi seorang yang suci dan bersih.

Jelasnya, kebanyakan ahli yang menegur dan mengkritik Pengerusi Pribumi, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalan Presiden Mukhriz akan dicantas, menyifatkannya sebagai sebuah pentadbiran kuku besi.

Taufik merupakan individu yang melontarkan soalan berkenaan tragedi Memali ketika forum Nothing to Hide 2.0, Ahad lalu di Shah Alam.

Menurutnya, insiden baling kerusi dan selipar yang berlaku pada forum berkenaan sebenarnya bukan ditujukan kepada Mahathir.

“Saya bertanyakan soalan mengenai tragedi Memali dan apabila saya cuba bertanyakan soalan lain, ada pihak yang membaling kerusi ke arah saya.

“Jika ada pihak yang ingin mencederakan Tun Mahathir, mereka sudah tentu duduk di bahagian hadapan dan bukannya baling dari belakang.

“Saya percaya kerusi yang melayang itu sebenarnya ditujukan kepada individu yang bertanyakan soalan,” katanya.

Sementara itu, Taufik turut mendesak Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melepaskan jawatan kerana dilihat gagal untuk mentadbir Armada dan tidak bertindak secara profesional serta bersifat kebudak-budakan.

Dia dengan tegas menyatakan tidak akan keluar daripada parti dan akan terus memperjuangkan suara di peringkat akar umbi.

Menurutnya, tiada surat yang diterima berhubung pemecatannya sebagai exco pemuda Armada dan hanya mengetahui mengenai status jawatannya itu menerusi akaun Twitter Syed Saddiq yang menjelaskan Taufik bukan exco Armada.

“Saya belum menerima sebarang surat rasmi dan sebelum ini diberitahu akan dipanggil Lembaga Disiplin tetapi sehingga kini tiada.

“Perkara ini tidak diselesaikan secara baik,” katanya yang mahu penganjur forum Nothing to Hide 2.0 dikenakan tindakan sewajarnya susulan kekecohan yang berlaku.

Kata Taufik, dia pernah menerima ugutan bunuh susulan insiden berkenaan namun enggan membuat laporan polis. – MO