Kerjasama Hindraf, PH perlu dibincangkan dalam mesyuarat, kata Azmin

 |Aug 18, 2017
Foto MO Azrol Ali.

GOMBAK: Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan perkara berhubung penyertaan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dalam Pakatan Harapan (PH) perlu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH.

Menurutnya, perkara tersebut perlu dibincangkan dalam kalangan PH dahulu sebelum satu keputusan dibuat mengenai hasrat Hindraf menyertai parti berkenaan.

“Saya tidak pasti (pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Hindraf) sebab saya bertemu Setiausaha Agung DAP, (Lim) Guan Eng semalam, jadi saya tidak tahu.

“Perkara itu perlu dibincang dulu di kalangan PH dan kita ada Mesyuarat Majlis Presiden PH pada masa terdekat dan sekiranya perkara ini ada dalam agenda mesyuarat maka perkara ni akan dibincangkan terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui di majlis penyerahan sumbangan lembu korban kerajaan negeri Selangor di Masjid Selayang Baru, hari ini.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan Mahathir dengan Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy di Yayasan Kepimpinan Perdana, semalam.

Mahathir menjelaskan pertemuan tersebut dilihat sebagai langkah PH mengadakan kerjasama dengan kumpulan itu menjelang pilihan raya umum akan datang dan menyifatkan Hindraf salah satu bahagian kuat jentera pembangkang.

Pertemuan tersebut turut dihadiri bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada DAP dan bekas menteri besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid.

Dalam perkembangan lain, Azmin menjelaskan sekali lagi pertemuanya dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah atas kapasiti PKR dan bukan mewakili PH.

Katanya, ia merupakan keputusan PKR untuk berjumpa dengan PAS bagi meneruskan perbincangan antara kedua parti.

“Sebenarnya perbincangan dengan PAS adalah inisiatif PKR sendiri dan bukan mewakili PH. Saya tidak boleh mewakili PH.

“Keputusan ini dibuat PKR bagi mengekalkan dan meneruskan perbincangan dengan PAS,” katanya yang enggan mendedahkan perkara yang dibincangkan dengan PAS.

PAS sebelum ini memutuskan kerjasama politik dengan PKR, bagaimanapun, ia tidak menghalang beberapa pemimpin PKR termasuk Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melawat Abdul Hadi baru-baru ini.

Azmin sebelum ini menjelaskan, kunjungan itu hanyalah suatu lawatan dan tiada perbincangan dilakukan.

Jelasnya, PKR sedia berbincang dengan PAS bagi menghadapi PRU ke 14 nanti. – MO

SHARE