Aliff Syukri berang rekaan tudung diciplak di luar negara

 |Aug 18, 2017

KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan ASK Boutique, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman kesal dengan pihak yang didakwa telah meniru rekaan tudungnya yang dikeluarkan pada awal Januari lalu.

Menerusi akaun Instagramnya, jutawan kosmetik itu berang apabila mendapati salah satu rekaan tudungnya dijual dengan harga yang murah dengan kualiti kain rendah.

“Ini adalah rekaan saya, kenapa anda ciplak rekaan saya, beritahu saya,” katanya kepada peniaga kedai berkenaan.

Aliff yang bercuti bersama keluarganya di Ho Chi Minh, Vietnam nyata terkejut dan berang selepas menemui tudung rekaannya dijual dengan harga RM15 berbanding harga asalnya adalah RM99.

“Tak patut, dia tak patut curi rekaan saya, saya penat cari duit tau tak, saya penat,” katanya.

Beliau turut menafikan tudung tersebut adalah rekaan Neelofa susulan nama artis tersebut tertulis pada tudung berkenaan.

“Ini bukan Neelofa tetapi Aliff Syukri,”katanya.

Aliff Syukri mendakwa tudung tersebut adalah rekaannya dan diciplak dengan menggunakan kualiti kain yang berbeza.

“Ini rekaan saya bulan Januari dan sekarang baru mula nak tiru. Ini lah orang nak kaya cepat, darah saya pun dia nak hisap,” katanya.

Aliff yang berang dengan tindakan pemilik kedai berkenaan berlalu keluar dalam keadaan marah.

Perkongsian Aliff mendapat perhatian netizen yang menganggap ianya adalah perkara biasa kepada ahli perniagaan terutamanya dalam bidang fesyen menjadi mangsa penciplak.

Ada netizen beranggapan Alif tidak sepatutnya membuat kecoh di kedai tersebut kerana bimbang keselamatan dirinya dan keluarga.

Isu rekaan artis negara ini diciplak di Vietnam bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini Neelofa, pemilik tudung Fareeda, telekung jenama terkenal, Siti Khadijah, pereka fesyen, Jovian Mandagie, pengasas FashionValet, Vivy Yusof dan Afdlin Shauki juga pernah menerima nasib yang sama. – MO

SHARE