‘Piala Taman Thomas’ bangkitkan semangat Malaysia Boleh

 |Aug 16, 2017
Rashid Sidek. – Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Petronas kembali menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan tahun ini dengan menerbitkan sebuah filem pendek bertajuk ‘Piala Taman Thomas’.

Filem yang diarahkan Ismail Kamarul ini dibintangi lagenda badminton negara, Rashid Sidek dan Foo Kok Keong yang merupakan pemenang Piala Thomas pada 1992, dan juga lima kanak-kanak yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Rashid ketika ditemui berkata, beliau tidak ragu untuk menyertai filem pendek berkenaan kerana mesej yang disampaikan cukup bermakna selain menyuntik semangat ‘Malaysia Boleh’ dalam diri generasi muda masa kini.

“Mesej yang disampaikan dalam filem ini sangat jelas iaitu jangan mudah mengalah dan berputus asa sekiranya gagal.

“Teruskan berusaha sehingga mencapai kejayaan,” katanya yang menerima tawaran berlakon dalam filem pendek itu empat bulan lalu.

Sementara itu, Foo berkata, penglibatannya adalah sebagai dorongan kepada remaja untuk tidak berputus asa.

“Walaupun kita dah bersara, kita beri mereka semangat untuk lawan semula dan mereka hampir putus asa tapi akhirnya lawan balik.

“Apabila anda lihat iklan ini, ia dapat memberi dorongan untuk jangan mudah berputus asa,” katanya.

Filem pendek arahan ketujuh Ismail ini mengambil masa tiga hari penggambaran di sekitar Lembah Klang.

Ismail berkata terkejut dengan bakat lakonan dua lagenda badminton negara ini dan menjadikan kejayaan memenangi Piala Thomas bagi menyemarakkan lagi semangat Malaysia Boleh dalam diri rakyat negara ini teruatamanya golongan remaja.

Filem pendek berdurasi empat minit ini akan ditayangkan di stesen-stesen televisyen di Malaysia bermula hari ini hingga 17 September depan. – MO