Skandal FIC: Isa Samad ditahan SPRM

 |Aug 15, 2017
Gambar fail kredit The Rakyat Post.

PETALING JAYA: Bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang tadi bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian dua hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Mohd Isa yang hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM di ibu pejabat agensi terbabit di Putrajaya kira-kira jam 2.40 petang tadi ditahan selepas memberi keterangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Jelasnya, tindakan tersebut dibuat susulan hasil keterangan yang telah dirakam pasukan penyiasat berhubung pembelian hotel tersebut sebelum ini.

“SPRM yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membuat penahanan itu supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” katanya.

SPRM membuka kertas siasatan berhubung pembelian hotel di Kensington, London antara 2013 dan 2015 oleh FIC yang didakwa lebih mahal berbanding harga asal.

SPRM turut memulakan siasatan ke atas pembelian hotel di Kuching selepas pasukan penyiasat mendapat maklumat ketika menyiasat pembelian hotel London itu. – MO

SHARE