‘Serbuan sahaja tidak mencukupi, tangkap pemilik premis judi haram’

 |Aug 15, 2017
Foto MO Azrol Ali.

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran mendesak polis untuk menahan pemilik premis yang menjalankan kegiatan judi haram terutamanya di kawasan Petaling Jaya.

Menurutnya, serbuan yang dibuat polis terhadap premis judi haram ini hanya menahan pekerja dan pelanggan tetapi hanya segelintir pemilik premis judi yang ditahan.

“Pekerja yang ditahan ini akan dihantar ke negara masing-masing seperti Bangladesh dan Indonesia manakala pelanggan dikenakan tindakan undang-undang.

“Tetapi bagaimana dengan pemilik premis atau operator yang menjalankan perniagaan judi haram ini? Mereka akan terus berleluasa jika tiada tindakan tegas,” katanya selepas dipanggil mendengar taklimat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, hari ini.

Menurutnya, hanya dua orang pemilik premis yang ditahan sebelum ini dikenakan tindakan dibuang negeri namun itu tidak memberi jaminan perniagaan judi haram yang dilakukan individu yang sama tidak berulang lagi di negeri lain.

“Serbuan sahaja tidak cukup, ia tidak dapat menangani masalah ini. Polis harus bekerjasama dengan TNB, Telekom dan agensi lain bagi memastikan premis judi ini tidak terus beroperasi selepas serbuan dibuat,” katanya.

Rajiv berkata, sebanyak 13 premis judi di kawasan Bukit Gasing sudah dikenal pasti beroperasi secara haram dan polis mengakui semua premis berkenaan tidak memiliki sijil perniagaan yang sah.

Taklimat selama 35 minit yang diberikan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din bersama empat pegawai polis kepada Rajiv menjelaskan mengenai serbuan dan tangkapan polis terhadap premis judi haram di sekitar Petaling Jaya.

Rajiv berkata, pihaknya berpuas hati dengan keterbukaan polis menjelaskan tindakan yang dibuat anggota penguatkuasa itu untuk membanteras judi haram.

Namun, timbul rasa kurang senang beliau apabila tangkapan tersebut hanya membabitkan pekerja dan pelanggan, bukannya operator yang menjalankan perniagaan haram berkenaan. – MO