Kekecohan Nothing to Hide 2.0: Tiga remaja direman empat hari

 |Aug 14, 2017
Foto fail MO Noraizura Ahmad.

PETALING JAYA: Tiga remaja yang dipercayai mencetuskan kekecohan pada program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam semalam direman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, tiga remaja yang berusia 17, 18 dan 19 tahun itu direman sehingga Khamis ini.

Menurutnya, sehingga tengah hari tadi tiada tangkapan lain yang dibuat susulan insiden yang berlaku di Dewan Raja Muda Musa, semalam.

“Tiada tangkapan lain setakat ini dan tiga remaja berkenaan direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tiga remaja berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(2)(d) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 153 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

Program Nothing to Hide 2.0 semalam dihentikan selepas insiden selipar, botol dan suar dibaling ke arah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi tetamu pada forum berkenaan. – MO