Azmin fail semakan kehakiman terhadap Ketua Polis Negara

 |Aug 14, 2017
Foto MO Azrol Ali.

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memfailkan permohonan untuk kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar di Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini, hari ini.

Timbalan Presiden PKR itu mengambil langkah tersebut selepas Khalid tidak mahu memberikan sebarang respon kepada notis tuntutan Mohamed Azmin untuk mencari dan mengekstradisi ahli perniagaan kontroversial Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa ada kaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau hadir ke mahkamah bersama peguamnya, Latheefa Koya dan Peguam N. Surendran kira-kira jam 2.05 petang.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya membuat permohonan supaya mahkamah mengeluarkan perintah bersifat mandamus bagi memaksa Khalid untuk menjalankan tanggungjawabnya seperti yang termaktub dalam Akta Polis.

“Beliau bertanggungjawab menyiasat ke atas seorang suspek yang melakukan jenayah.

“Ini bukan tujuan peribadi tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya ingatkan beliau mengenai tanggungjawabnya untuk memastikan amalan jenayah di dalam dan luar negara yang melibatkan rakyat negara ini perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya selepas memfailkan permohonan semakan kehakiman di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, Jho Low harus dibawa balik bagi diambil keterangan dan siasatan dapat dilakukan secara terbuka dan telus.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor itu menghantar satu surat tuntutan rasmi menuntut pihak polis mencari dan mengekstradisi Jho Low.

Mengikut surat itu, Jho Low disyaki terlibat dalam jenayah pecah amanah di bawah Seksyen Seksyen 409 Kanun Keseksaan, serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

Bagaimanapun, Khalid enggan memberikan sebarang komen berhubung perkara itu kepada umum dan menjelaskan siasatan ke atas 1MDB masih diteruskan.

Sementara itu, Surendran berkata, permohonan tersebut dibuat dibawah Aturan 53 kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Menurutnya, undnag- undang berkenaan boleh dikenakan terhadap pegawai kerajaan yang gagal menjalankan tugas.

“Memang kita boleh bawa semakan kehakiman dan ini bukan menganggu siasatan tetapi memaksa mereka menjalankan tugas,” katanya. – MO