BN mahu rampas kembali Dun Sekinchan pada PRU14

 |May 22, 2017
Majlis pelancaran jentera PRU14 Barisan Nasional Dun Sekinchan malam tadi. – Gambar kredit Facebook Dato Jamal Md Yunos.

Barisan Nasional (BN) bertekad menguasai dan memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sekinchan, yang kini kubu DAP, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN kawasan Parlimen Sungai Besar, Jamal Md Yunos, berkata pihaknya telah menggerakkan langkah menghadapi PRU14 terutama di Dun Sekinchan yang menyaksikan BN kehilangan kerusi itu sejak tiga penggal lepas.

“Sebagai persiapan awal, pembukaan bilik gerakan peringkat cawangan di Dun Sekinchan dilancarkan untuk menghadapi PRU-14.

“Meskipun kita tak tahu bila tarikh pilihan raya, tetapi kami terutamanya di Dun Sekinchan akan membuka bilik gerakan lebih awal. Dun Sekinchan juga menjadi Dun pertama yang menggerakkan jentera,” katanya ketika melancarkan Jentera BN Dun Sekinchan bagi PRU14 di Sekinchan, malam tadi.

Jamal yang juga Ketua Bahagian Umno Sungai Besar berkata untuk menebus kekalahan di Dun Sekinchan, MCA perlu mengembalikan sokongan pengundi Cina di kawasan itu yang dianggar seramai 10,000.

Kerusi Dun Sekinchan kini disandang Ng Suee Lim daripada DAP.

Sementara itu, Anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, ketika berucap pada majlis itu berkata BN telah pun mengotakan janji yang dibuat ketika pilihan raya kecil Parlimen Sungai Besar Jun tahun lepas untuk menaik taraf pasar awam Sekinchan demi keselesaan peniaga. – Bernama