TN50 bersama artis dihiasi insiden lucu ‘Wak Dogol’ dan tamparan ‘Mat Over’

 |May 18, 2017

Umum mengenali Wak Doyok sebagai seorang selebriti fesyen tanahair.

Di dalam satu video yang dikongsi di YouTube susulan program Transformasi Nasional 50 (TN50) di Seri Perdana malam tadi, dilihat Wak Doyok kini mendapat gelaran baru.

Insiden mencuit hati tersebut memaparkan Perdana Menteri Najib Razak yang berada di program dialog TN50 bersama artis tersasul memanggil Wak Doyok sebagai ‘Wak Dogol’.

Najib yang sedang berbual bersama seorang pegawai kedengaran menyebut ‘Wak Dogol’.

Pegawai tersebut menyebut Wak Doyok sambil menuding ke arah kamera.

Nyata program TN50 malam tadi menjadi sebutan pelbagai pihak kerana diselangi ‘babak-babak’ seperti drama televisyen.

Insiden ‘Wak Dogol’ nyata kesalahan tersasul yang mencuit hati, namun insiden pelakon Sulaiman Yassin menampar penerbit David Teo di hadapan Najib masih hangat diperkatakan netizen.

Di dalam kejadian tersebut yang turut berlaku semalam, kekecohan timbul apabila Sulaiman yang lebih dikenali sebagai Mat Over tampil di atas pentas dan menyepak David.

David pada ketika itu sedang cuba memperkatakan sesuatu kepada Najib dengan cara pertuturan yang agak kuat.

Sebelum itu, David kelihatan tidak puas hati dengan Rosyam Nor sebagai moderator majlis.

Rosyam mengingatkan David untuk menjaga perlakuannya kerana sedang berhadapan dengan Perdana Menteri dan berkata sebaiknya David menggunakan masa satu minit yang diperuntukkan untuk memberi pendapatnya.

Susulan kejadian Mat Over menampar David, difahamkan kedua-duanya berdamai tidak lama kemudian.

Di dalam laporan Harian Metro, Sulaiman menegaskan tidak menyesali perbuatannya kerana dia berbuat demikian untuk mengajar cara beradab.

“Saya tak rasa apa yang saya buat itu keterlaluan kerana tindakan berkenaan untuk mengajarnya cara beradab terutama di hadapan pemimpin yang menjadi tuan rumah pada acara ini.

“Saya juga tidak kesal dengan tindakan ini kerana sikap David tidak menghormati Perdana Menteri dan Rosyam selaku moderator. Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia perlu ada adab dan hormat-menghormati,” Sulaiman dipetik sebagai berkata.