BN Kedah yakin tawan semula Parlimen Padang Serai

 |May 15, 2017
Menteri Besar Kedah Ahmad Bashah Md Hanipah hadir di program turun padang di Padang Serai, Kedah hari ini. – Gambar kredit Facebook Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Penduduk di kawasan Parlimen Padang Serai diminta tidak mengulangi kesilapan dengan memilih pemimpin daripada parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Ahmad Bashah Md Hanipah berkata penduduk Padang Serai yang kini berada di bawah pembangkang perlu mengambil iktibar selepas jauh  ketinggalan daripada aspek pembangunan yang sepatutnya dikecapi mereka.

“Lima tahun dia (N Surendran-PKR) dilantik sebagai Anggota Parlimen Padang Serai dan sudah dua penggal, kawasan parlimen Padang Serai diwakili pembangkang tapi tiada perubahan yang dilakukan di sini.

“Dia mempunyai kuasa tetapi hanya muncul lima tahun sekali dan saya harap penduduk di sini sedar dan tidak terus melakukan kesilapan yang sama dengan memilih pemimpin yang seperti ini pada PRU14 nanti,” katanya yang juga Menteri Besar ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Parlimen Padang Serai hari ini.

Dalam lawatan kerja tersebut, Ahmad Bashah melawat dan bertemu peniaga di pasar pagi di pekan Padang Serai sebelum ke Matang Durian, Merbau Pulas bagi bertemu hampir 1,000 penduduk di situ yang menghadiri program ‘Menteri Besar Turun Padang’.

Ahmad Bashah berkata, melalui lawatan-lawatan kerja yang dilakukan serta maklum balas daripada penduduk, ia memberi bayangan kepimpinan BN Kedah mampu menawan semula Parlimen Padang Serai pada PRU14 nanti.

“Saya percaya penduduk di sini semakin bijak dalam membuat keputusan untuk masa depan mereka. Jika mereka terus diwakili pembangkang, maka tiada satu pembangunan yang akan wujud di sini melainkan hanya aduan.

“Tadi, semasa saya melawat kawasan pasar pagi di pekan Padang Serai, ramai peniaga mengadu pelbagai masalah yang dihadapi mereka sejak 10 tahun lalu memandangkan mereka sudah lama tidak bertemu wakil rakyat mereka di kawasan ini,” katanya.

Di samping itu, beliau turut menegaskan pembangkang tidak sepatutnya menggunakan sentimen perkauman untuk memenangi hati pengundi.

“Sudah 60 tahun kita berkongsi kuasa bersama kaum India dan Cina, sebab itu kita membangun. Ramai pelabur luar negara yakin dengan kita, jadi apa yang pembangkang lakukan adalah untuk memecahbelahkan keamanan negara dengan menggunakan sentimen perkauman hanya bagi mendapatkan kuasa,” katanya. – Bernama