Polis Kelantan siasat dakwaan lelaki tempatan jual senjata api kepada IS

 |May 11, 2017
Gambar fail Wikimedia.

Polis Kelantan akan menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan seorang penduduk tempatan daripada kumpulan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini yang disyaki terbabit dalam membekalkan senjata api kepada militan IS.

Pemangku Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad berkata polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan undang-undang sedia ada di samping mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa negara jiran.

“Kita akan membuat siasatan secara menyeluruh dan tidak akan menyembunyikan sama ada mereka ini penduduk tempatan atau luar,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan Konvoi Perkhemahan Peringkat Kebangsaan Kor Kadet Polis Diraja Malaysia Kontinjen Kelantan Ke-19 di Kota Bharu, hari ini.

Din berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah akhbar yang mengatakan terdapat seorang lelaki tempatan yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daesh dan didakwa membekalkan senjata api.

Difahamkan, lelaki berusia 27 tahun berasal dari Rantau Panjang itu sudah melarikan diri ke Thailand selepas beberapa serbuan dijalankan oleh polis di beberapa kawasan di negara ini.

Turut dilaporkan, sejak awal tahun ini, seramai enam individu berusia antara 24 hingga 41 tahun termasuk dua wanita ditahan di lima negeri berasingan iaitu Kelantan, Selangor, Johor, Melaka dan Pulau Pinang selepas disyaki terbabit mempunyai hubungan dengan militan IS. – Bernama