PM Laos tiba untuk lawatan rasmi

 |May 9, 2017
Perdana Menteri Laos, Dr Thongloun Sisoulith. – Gambar fail kredit laman web Asean-Russia Summit 2016.

Perdana Menteri Laos, Dr Thongloun Sisoulith tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi ini untuk memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke Malaysia.

Pesawat khas QV 0001 yang membawa beliau daripada Vientiane mendarat pada pukul 9.22 pagi dan disambut Timbalan Menteri Kewangan, Lee Chee Leong yang juga selaku Menteri Pengiring.

Wisma Putra sebelum ini berkata lawatan tersebut adalah atas jemputan Perdana Menteri, Najib Razak dan ini merupakan lawatan rasmi pertama Dr Thongloun sejak memegang jawatan pada April 2016.

“Lawatan rasmi Dr Thongloun Sisoulith ke Malaysia membuktikan keutamaan yang Laos letakkan dalam hubungannya dengan Malaysia.

“Lawatan ini menyediakan peluang terbaik kepada kedua-dua pemimpin untuk mengkaji semula kemajuan hubungan dua hala sedia ada dan membincangkan kemungkian bagi memperkukuhkannya,” kata Wisma Putra.

Perdan Menteri Laos itu akan diberi sambutan rasmi sebelum menghadiri mesyuarat terhad dengan Najib di Pejabat Perdana Menteri disusuli dengan mesyuarat delegasi.

Dr Thoungloun dijadual menyampaikan ucapan pembukaan pada Forum Perniagaan Malaysia-Lao PDR di Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Nilai dagangan antara Malaysia dan Laos meningkat dalam tahun-tahun sebelum ini yang pada 2016, jumlah dagangan Malaysia di Laos berjumlah AS$30.96 juta berbanding AS$17.7 juta pada 2015. – Bernama