‘Kanak-kanak berbakat perlu dipupuk’

 |May 9, 2017
Pelajar-pelajar Permata di London bersama peserta Program Nobel Minda bergambar bersama isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor. – Gambar kredit Facebook Azalina Othman Said.

Ramai pelajar berbakat Permata telah menghasilkan kajian dan berjaya diterbitkan dalam journal, kata isteri perdana menteri, Rosmah Mansor, yang juga merupakan penaung Permata.

Beliau berkata kebanyakan mereka dibimbing oleh anggota Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsan Malaysia (UKM).

Oleh itu dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara fakulti tersebut dan Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Universiti Cambridge, ia akan memanfaat pelajar berbakat Permata, katanya pada majlis menandatangani MoU itu di sini pada Isnin.

Ia ditandatangani Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Bioteknologi Universiti Cambridge, Prof John Dennis dan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof Sahrim Ahmad.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rohani Karim, Menteri di Jabatan Perdan Menteri, Azalina Othman Said, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom, Ahmad Rasidi Hazizi, Timbalan Naib Canselor UKM, Prof Dr Riza Atiq Abdullah Rahmat, Pegawai Antarabangsa Univeristi Cambridge, Allen Swales dan Timbalan Ketua Jabatan Kajian Universiti Cambridge, Prof Elizabeth Hall.

Rosmah berkata pelajar berbakat mempunyai pemikiran abstrak tahap tinggi dan kebolehan memilki dan mengguna pakai pengetahuan dan strategi maju bagi menyelesai masalah selain menerimanya bagi tujuan mulia.

“Apabila dipupuk sejak muda, bakat mereka dapat dioptimum melepasi prestasi tahap tinggi dalam sebarang bidang,” katanya.

Beliau juga berkata Hall yang merupakan profesor pelawat di Bengkel Minda Nobel Permata Pintar di UKM pada September lalu telah membuka peluang kepada pelajar untuk mempelajari lebih banyak mengenai STEM (bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).

“Penglibatan beliau membolehkan para pelajar yang dipilih bagi Institut Sains melawat Cambridge sebagai sebahagian daripada program pengajian mereka,” tambahnya.

Rosmah berharap penglibatan awal Profesor Hall dengan Permata Pintar akan membawa kepada kolaborasi lebih besar yang dapat mencipta peluang dan hala tuju untuk pelajar Permata memanfaat daripada tawaran yang terdapat di Univeristi Cambridge.

Beliau berharap universiti berkenaan akan turut membantu penubuhan Pusat Kajian Permata yang akan menyediakan persekitaran paling kondusif untuk membina budaya kecemerlangan dalam kajian bagi kalangan alumni Permata.

Sementara itu, Prof Riza Atiq berkata dengan adanya MoU itu, ia bukan sahaja akan membantu memperbaiki lagi kedudukan UKM dalam QS World University Rangking, malah dapat membantu harapan negara untuk melahirkan pemenang Nobel lebih awal melalui perkongsian kepakaran dan penggunaan makmalnya.

University Cambridge telah melahirkan ramai pemenang nobel dan melalui kerjasama ini, ianya dapat mewujudkan konsep mentor-mentee antara pensyarah University Cambridge dan mahasiswa serta pensyarah muda UKM, katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Beliau berkata MoU itu juga akan turut dapat membantu Permata Pintar dalam program Minda Nobel serta STEM.

Beliau berkata University Cambridge juga bersetuju untuk mengadakan satu lagi MoU khas untuk Permata Pintar, termasuk mewujudkan latihan khas oleh pakar-pakar dalam bidang kanak-kanak pintar.

Sementara itu bagi Prof Sahrim pula, kerjasama ini akan membuka pintu baharu bagi pelajar Permata Pintar untuk melanjutkan pelajaran  mereka ke universiti itu.

Katanya pada masa ini kebanyakkan pelajar Permata melanjutkan pelajaran mereka di universiti terkemuka di Amerika Syarikat.

Beliau berkata usaha Pejabat Perdana Menteri dan Konsultan Kanan Jabatan Perdana Menteri, Prof Emeritus Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin telah membantu memperceptkan usaha untuk menandatangani perjanjian ini setelah surat hasrat ditandatangani pada  Mac lepas. РBernama

SHARE