SPRM lancar kempen perangi rasuah bersama rakyat

 |May 8, 2017
Gambar fail kredit Facebook SPRM.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) bagi mencetus perubahan agresif dan drastik dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan meletakkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad berkata kempen revolusi sosial itu akan dilaksanakan pada Isnin pertama setiap bulan, dengan 2,000 tenaga kerja SPRM akan turun padang bertemu rakyat untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

“SPRM bermatlamat agar dapat melahirkan masyarakat yang benci serta memandang jijik kepada rasuah, salah guna kuasa dan juga terhadap pelaku rasuah. Ini bukan satu revolusi politik.”

“Kita juga mahu masyarakat berani menolak perbuatan kutuk itu dan mengatakan tidak. Ini adalah impian kita dalam masa tiga tahun untuk melihat mereka bangun dan menolak rasuah,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Gerah di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata 2,000 anggota dan pegawai SPRM akan ke lokasi terpilih termasuk lapangan terbang dan stesen keretapi untuk menyampaikan mesej benci pada rasuah dan salah guna kuasa, serta melaporkan kejadian jenayah itu kepada SPRM.

Dzulkifli berkata, beliau menyeru syarikat terlibat dalam urusan perniagaan untuk tampil dan melaporkan kegiatan rasuah dan salah guna kuasa kepada SPRM, agar tindakan tegas boleh diambil dan dikenakan terhadap mereka yang terlibat.

“Ramai bercakap bahawa di sana sini berlaku permintaan rasuah. Tetapi syarikat-syarikat jarang tampil ke hadapan. Mereka perlu memainkan peranan kerana kerja-kerja banteras rasuah dan salah guna kuasa bukan hanya terletak pada bahu SPRM, tetapi semua pihak.”

“Kita mahu rakyat tahu bahawa SPRM adalah rakan dan keluarga anda. Anda boleh bergantung kepada kami. Oleh itu, anda perlu berani untuk mengatakan tidak,” katanya.

Selain Gerah, beliau berkata SRPM juga akan secara selari melancarkan satu lagi kempen yang dinamakan 3J – ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle’, yang akan disebar luas oleh SPRM dengan kerjasama erat bersama agensi media.

Katanya, kempen itu bertujuan untuk menyampaikan mesej kesedaran terhadap rakyat agar mereka jangan sesekali terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, melalui cara penerimaan mahupun pemberian rasuah.

Kempen 3J dilancarkan di pejabat Kumpulan Media The Star, Akhbar Sin Chew Jit Poh dan Akhbar Tamil Nanban hari ini. – Bernama