Enakmen lambang, gelaran, anugerah Johor dikuatkuasakan 1 Julai

 |May 8, 2017
Gambar fail kredit Twitter @KitaBangsaJohor.

Penguatkuasaan undang-undang terhadap Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 akan bermula sepenuhnya 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Ayub Rahmat berkata enakmen itu dikuatkuasakan sepenuhnya selepas tempoh bertenang selama 60 hari berakhir.

“Pekeliling Am Kerajaan Johor Bilangan 1 Tahun 2017 berkenaan pelaksanaan enakmen berkenaan dan penggunaan Jata Kerajaan Negeri Johor telah dikeluarkan dan berkuat kuasa 2 Mei lepas.

“Bagi mengambil kira kesedaran orang awam berkenaan pengwujudan enakmen tersebut, kerajaan negeri memutuskan memberikan tempoh 60 hari sebagai tempoh bertenang mulai daripada pekeliling tersebut berkuat kuasa,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar hari ini.

Ayub berharap orang awam mengambil maklum dan bersedia mematuhi segala peruntukan undang-undang yang terdapat dalam enakmen tersebut sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya selepas tamat tempoh 60 hari iaitu 1 Julai depan.

Beliau berkata Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 telah diluluskan Dewan Undangan Negeri Johor pada 9 Mac lepas dan kemudian diwartakan pada 16 Mac lepas.

Katanya penggubalan enakmen itu merupakan usaha memartabatkan institusi diraja dan menangani kegiatan penyalahgunaan lambang, gelaran dan anugerah oleh orang ramai.

“Enakmen itu memperuntukkan undang-undang yang lebih ketat terhadap individu yang menyalahgunakan lambang, gelaran dan anugerah yang dikurniakan oleh Sultan Johor kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Tuanku.

“Ia termasuk menggunakan lambang, gelaran dan anugerah atau replika untuk tujuan perdagangan, pekerjaan, atau persendirian serta mempamer atau melekatkan apa-apa lambang, gelaran dan anugerah atau replikanya kepada apa-apa kenderaan,” katanya.

Jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh didenda tidak kurang daripada RM250,000 tidak melebihi RM500,000 atau hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun.

Menurut Ayub, kesalahan lain yang dinyatakan dalam enakmen tersebut termasuk menggunakan gelaran atau anugerah yang ditarik balik, menggunakan anugerah bukan hak, menghadiri majlis penganugerahan tidak diiktiraf, membuat lambang atau tanda kebesaran tidak diiktiraf serta membuat peralatan untuk membuat lambang tidak diiktiraf.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak kurang RM100,000 dan tidak melebihi RM250,000 atau hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Katanya, sehubungan itu, orang ramai yang ingin mendapatkan kebenaran menggunakan Jata Kerajaan Negeri Johor boleh mengemukakan permohonan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Khidmat Pengurusan) manakala permohonan menggunakan lain-lain lambang dan anugerah perlu dikemukakan di Jabatan Diraja Johor. – Bernama