PM Najib tepati janji bawa pulang rakyat Malaysia dari Korea Utara

Mar 31, 2017
Menteri Luar, Anifah Aman berkata pada awal episod malang ini, PM Najib telah berjanji bahawa kerajaan Malaysia akan melakukan apa sahaja yang sebaik mungkin untuk membawa mereka kembali dan akan menggunakan setiap sumber dan usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

Perdana Menteri Najib Razak telah menunaikan janjinya untuk membawa pulang sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang meninggalkan Pyongyang, Korea Utara, sejak 7 Mac lepas.

Menteri Luar, Anifah Aman berkata pada awal episod malang ini, perdana menteri telah berjanji kepada kakitangan kedutaan dan ahli keluarga masing-masing yang bimbang dengan keselamatan mereka.

Katanya, Najib juga berjanji bahawa kerajaan Malaysia akan melakukan apa sahaja yang sebaik mungkin untuk membawa mereka kembali dan akan menggunakan setiap sumber dan usaha bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

“Perdana Menteri terlibat secara langsung dan mengikuti setiap langkah secara dekat dalam proses rundingan sehingga membawa kepada pelepasan Sembilan rakyat Malaysia.

“Hari ini, janji ini telah dipenuhi,” katanya pada sidang media selepas menyambut kepulangan sembilan rakyat Malaysia di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini.

Anifah juga melahirkan penghargaannya kepada perdana menteri atas keprihatinan beliau, bimbingan, kepimpinan dan yang paling penting penglibatan peribadinya.

“Kejayaan ini adalah bukti apa yang boleh dicapai oleh Malaysia jika kita semua bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan sehingga membuahkan hasil kepada episod ini, “katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Najib atas kepercayaan beliau terhadap Wisma Putra untuk memimpin rundingan dengan Korea Utara.

Dengan berbuat demikian, beliau berkata Najib telah meletakkan kepercayaan kepada Kementerian Luar dalam pendekatan diplomasi.

“Alhamdulillah, saya gembira bahawa kami tidak mengecewakan kepercayaan Najib dalam menguruskan isu dengan kaedah diplomasi yang terbaik.

“Saya telah menyatakan bahawa tidak ada pengganti untuk diplomasi dan perlu bertenang dalam menangani situasi ini dan faktor ini telah berhasil untuk Malaysia,” katanya.

Katanya, kejayaan ini bukan hasil usaha Wisma Putra semata-mata malah melibatkan kerjasama setiap jentera kerajaan.

Berikutan kejayaan membawa pulang kakitangan kedutaan Malaysia di Pyongyang, Anifah berkata Malaysia sudah menarik balik larangan keluar kepada rakyat Korea Utara di Malaysia dengan serta merta.

Menurutnya, tindakan itu susulan daripada penghantaran pulang mayat Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, ke negara asal seperti diminta waris mendiang.

Rakyat Malaysia yang pulang ialah pembantu peribadi duta besar, Noor Saaidah Jamaluddin, 29; suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan; S. Nirmala Malar Kodi, 45, (Pegawai Tadbir); Mohd Nor Azrin Md Zain, 37, (Kaunselor), isterinya, Iza Karmila Ramli, 35, serta tiga anak iaitu Annur Zulaikha, 6, Aynor Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3.

Ketegangan hubungan antara Malaysia dan Korea Utara timbul selepas Duta Korea Utara di Malaysia, Kang Chol diarahkan pulang kerana mengkritik pihak berkuasa Malaysia berhubung penyiasatan pembunuhan Jong-nam.

Jong-nam, 46, dibunuh menggunakan agen saraf VX, oleh dua wanita asing  semasa menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), pada 13 Feb lepas. – Bernama